Jumaat, 19 Ogos 2022 | 3:04pm
Pesawat tempur ringan (LCA) Tejas - Foto Reuters
Pesawat tempur ringan (LCA) Tejas - Foto Reuters

Hindustan Aeronautics tinjau jual pesawat tempur Tejas ke Malaysia

BENGALURU: Syarikat milik kerajaan India, Hindustan Aeronautics Limited (HAL) akan membuka pejabat operasinya di Malaysia bagi memanfaatkan peluang perniagaan baharu untuk pesawat tempur ringan (LCA) 'Fighter Lead-in Trainer' (FLIT) Tejas dan keperluan pertahanan lain.

HAL yang berpangkalan di Bengaluru dalam satu kenyataan berkata, pejabat operasinya di Malaysia turut membantu memudahkan pemberian keperluan lain kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti menaik taraf pesawat Sukhoi Su-30MKM dan Hawk.

"Ia akan mengukuhkan komitmen India dalam menyokong sektor pertahanan Malaysia dan industri aeroangkasa serta memberikan pertahanan yang mampan.

"HAL telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pertahanan pada Oktober 2021 untuk membekalkan 18 LCA FLIT melalui tender global yang dikeluarkan oleh TUDM," katanya.

HAL sebelum itu telah menandatangani memorandum persefahaman yang disaksikan oleh Setiausaha Pertahanan India, Dr Ajay Kumar.

Perjanjian dimeterai oleh Pengurus Besar LCA HAL, Ravi K bersama Mejar (B) Mohd Husairi Mat Zain dari Forte Drus Sdn Bhd, wakil rasmi HAL di Malaysia.

Ravi (empat dari kiri) bertukar dokumen MoU bersama Mohd Husairi dalam satu majlis di Bengaluru - Foto HAL
Ravi (empat dari kiri) bertukar dokumen MoU bersama Mohd Husairi dalam satu majlis di Bengaluru - Foto HAL

Pembida yang berjaya bagi pembekalan LCA FLIT dijangka akan diumumkan tidak lama lagi oleh kerajaan.

HAL berkata, LCA Tejas mempunyai peluang untuk dipilih dalam bidaan kerana ia memenuhi semua keperluan yang dicari oleh TUDM.

Selain itu, katanya, sebagai salah satu pengeluar terbesar pesawat SU-30 dari Russia, HAL mempunyai keupayaan untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada TUDM bagi armada SU-30 MKM.

Ketika ini, katanya, pesawat itu menghadapi masalah kebolehgunaan yang rendah akibat krisis Russia-Ukraine yang berterusan.

"HAL juga boleh menyokong TUDM untuk menaik taraf armada Hawk," katanya.

Platform HAL lain seperti HTT-40, Do-228, Helikopter Ringan Termaju (ALH) dan Helikopter Tempur Ringan (LCH) juga, katanya mempunyai potensi untuk dilantik oleh TUDM pada masa hadapan.

Beliau berkata, dengan mengambil kira faktor itu, pejabat HAL di Kuala Lumpur akan mengambil promosi pasaran rangkaian produk dan perkhidmatan HAL bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh Asia Tenggara.

Pejabat itu juga akan menyumbang dalam meningkatkan kebolehkhidmatan platform sedia ada yang dikendalikan oleh TUDM dan untuk pasukan tentera udara serantau.

Bulan lalu, Reuters melaporkan bahawa India menawarkan untuk menjual 18 pesawat LCA Tejas kepada Malaysia.

Katanya, beberapa negara lain seperti Argentina, Australia, Mesir, Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Filipina turut berminat dengan jet enjin tunggal itu.

Kerajaan India tahun lalu memberikan kontrak AS$6 bilion kepada HAL bagi membolehkan 83 jet Tejas yang dibina dalam negara dihantar bermula 2023, empat dekad selepas ia mula diluluskan pada 1983.

Berita Harian X