Selasa, 9 Ogos 2022 | 9:47pm
Hartalega Holdings Bhd - NSTP/Yazit Razali
Hartalega Holdings Bhd - NSTP/Yazit Razali

Untung bersih Hartalega merosot hampir 100 peratus

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd merosot 96.1 peratus kepada RM88.28 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022, daripada RM2.26 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas berikutan peningkatan kos tenaga dan buruh yang disebabkan oleh kenaikan tarif gas asli dan pelaksanaan gaji minimum.

Perolehan turun 78.3 peratus kepada RM845.67 juta berbanding RM3.90 bilion sebelumnya, kata pengeluar sarung tangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Perolehan yang lebih rendah itu terutamanya disebabkan oleh purata harga jualan (ASP) yang kembali normal dan kemerosotan jumlah jualan sebanyak 28 peratus, berbanding suku pertama tahun kewangan 2022 apabila kedua-dua ASP dan permintaan jualan mencatatkan paras tertinggi ketika tempoh pandemik," kata Hartalega.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kuan Mun Leong, berkata kesan ASP dan permintaan yang kembali normal dipaparkan dalam keputusan suku pertama syarikat yang turut terkesan dengan persekitaran kos operasi yang lebih tinggi dan peningkatan tekanan inflasi disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik dan gas asli, serta dasar gaji minimum baharu yang dilaksanakan pada Mei 2022.

"Di samping itu, persaingan semakin sengit di pasaran berikutan keadaan bekalan berlebihan dalam sektor sarung tangan global," katanya.

"Dalam jangka pendek, Mun Leong berkata cabaran luar dijangka berterusan disebabkan harga komoditi dan bahan mentah yang lebih tinggi ekoran gangguan rantaian bekalan global.

Namun begitu, kumpulan akan terus memberi tumpuan pada pengukuhan prospek jangka panjang.

Selaras dengan itu, kumpulan akan terus berkembang maju dengan peluasan terkini kilang pengeluaran sarung tangan, NGC 1.5 yang akan disiapkan secara berfasa seiring dengan keadaan bekalan dan permintaan pasaran yang sedia ada.

"Dalam jangka panjang, NGC 1.5 akan membolehkan kami memenuhi permintaan struktur yang semakin berkembang bagi sarung tangan di peringkat global.

"Ini khususnya berikutan penggunaan sarung tangan yang meluas di pasaran-pasaran sedang membangun yang kebanyakan masih rendah tahap penggunaannya selain kesedaran yang kian meningkat terhadap penjagaan kebersihan dalam kalangan pengamal penjagaan kesihatan selepas pandemik," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X