Selasa, 2 Ogos 2022 | 11:57am
Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd
Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd

Panasonic Malaysia naikkan harga produk serap peningkatan kos

KUALA LUMPUR: Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (Panasonic Malaysia) akan menaikkan harga beberapa lagi produk pada separuh kedua 2022 berikutan peningkatan kos bahan mentah.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Syifaa' Mahsuri Ismail, berkata kos bahan mentah utama bagi Panasonic Malaysia termasuk tembaga, aluminium dan keluli merekodkan trend peningkatan antara 16 hingga 84 peratus berbanding April 2021.

Beliau berkata, Panasonic Malaysia telah menaikkan harga jualan antara lima hingga 10 peratus bagi sebahagian model bagi mengimbangi impak kenaikan kos input berkenaan.

"Di sebalik itu, kami berpandangan bahawa kumpulan hanya mampu memindahkan sebahagian daripada kos itu kepada pengguna dan masih lagi terpaksa menghadapi margin yang semakin mengecil.

"Selain itu, kumpulan juga sedang berusaha untuk mengautomasi pengeluaran berikutan kenaikan kos buruh disebabkan oleh dasar gaji minimum dan kekurangan bekalan pekerja," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Syifaa' Mahsuri berkata, Panasonic Malaysia difahamkan turut menanggung kos penstrukturan semula berjumlah RM12.2 juta berikutan penamatan produk periuk nasi, yang menanggung kerugian sejak beberapa tahun lalu disebabkan oleh kos bahan mentah tinggi telah mengecilkan margin keuntungan.

"Selain itu, beberapa produk kelengkapan dapur akan turut ditamatkan pada tahun kewangan 2023 berikutan penyusunan semula pengeluaran global Panasonic Group.

"Berdasarkan panduan diberikan pengurusan, penamatan produk periuk nasi dan kelengkapan dapur masing-masing akan memberikan enam dan tujuh peratus impak kepada pendapatan kumpulan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Panasonic Malaysia dapat meneruskan operasi penuh bermula Mac 2022 selepas insiden banjir di kilang Shah Alam 2 pada Disember 2021.

Walaupun demikian, kumpulan katanya menanggung kerugian besar daripada kerosakan inventori dan kemudahan, ditambah dengan ketiadaan jualan berpunca gangguan operasi pada tahun kewangan 2022.

"Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM24.7 juta dan kami difahamkan bahawa insurans yang dituntut setakat ini hanya melindungi 49 peratus daripada kerugian keseluruhan dengan bakinya masih sedang disemak.

"Buat masa ini, kadar penggunaan bagi segmen kipas angin beroperasi pada 85 peratus dan pembersih hampagas pada 90 peratus," katanya.

HLIB mengekalkan saranan jual terhadap saham Panasonic Malaysia dengan sasaran harga RM22.33 sesaham.

Panasonic Malaysia mencatatkan keuntungan bersih RM50.5 juta bagi tahun kewangan 2022, merosot 58.7 peratus berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh jualan lebih rendah daripada gangguan operasi dan margin terkesan oleh peningkatan kos bahan mentah.

Berita Harian X