Selasa, 26 Julai 2022 | 9:05pm
Kossan Rubber Industries Bhd (Kossan) - Foto fail NSTP
Kossan Rubber Industries Bhd (Kossan) - Foto fail NSTP

Keuntungan bersih Kossan merosot

KUALA LUMPUR: Kossan Rubber Industries Bhd (Kossan) mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM45.99 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM1.06 bilion setahun yang lalu.

Ini seiring dengan pendapatan yang rendah sebanyak RM589.86 juta berbanding RM2.24 bilion setahun lepas susulan penurunan hasil daripada sarung tangan, produk getah teknikal dan bahagian bilik bersih.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kossan berkata industri sarung tangan akan berhadapan dengan situasi lebihan bekalan akibat lebihan stok akibat daripada pelarasan inventori seterusnya daripada pelanggan, memaksa harga jualan purata jatuh.

Bagi bahagian produk getah teknikal, ia berkata jangkaan peningkatan berperingkat aktiviti ekonomi dan perbelanjaan infrastruktur di seluruh dunia akan terus memacu segmen infrastruktur dan automotif dengan kumpulan menjangkakan bahagian ini akan memberikan prestasi yang memuaskan pada separuh kedua tahun kewangan 2022.

Disebabkan cabaran yang menjejaskan sektor sarung tangan, kumpulan menjangkakan prestasi separuh kedua tahun kewangan 2022 adalah mencabar.

"Oleh itu, kumpulan akan menangguhkan rancangan pengembangan jangka pendeknya tertakluk kepada keadaan pasaran semasa.

"Walau bagaimanapun, kumpulan kekal positif terhadap industri sarung tangan dan akan terus menumpukan usaha untuk mempercepatkan transformasi kami serta melabur semula ke dalam pendigitalan dan automasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X