Isnin, 18 Julai 2022 | 1:40pm
Pengarah Urusan Ecoscience, Wong Choi Ong (empat dari kanan) bersama Lembaga Pengarah kumpulan selepas majlis dagangan sulung Ecoscience di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.
Pengarah Urusan Ecoscience, Wong Choi Ong (empat dari kanan) bersama Lembaga Pengarah kumpulan selepas majlis dagangan sulung Ecoscience di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.

Ecoscience mula didagangkan di Pasaran Ace

KUALA LUMPUR: Ecoscience International Bhd (Ecoscience), penyedia perkhidmatan pengilangan sawit bersepadu, memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE dengan harga pembukaan pada 29 sen, lebih rendah berbanding harga rujukan tawaran awam permulaannya (IPO) iaitu 30 sen sesaham.

Pengarah Urusan Ecoscience, Wong Choi Ong, berkata pihaknya terjuja dengan prestasi memberangsangkan itu, sekali gus menandakan sambutan positif pasaran terhadap penyenaraian syarikat.

Beliau berkata, syarikat berpangkalan di Johor itu akan memberi tumpuan untuk pengembangan operasi perniagaannya di Indonesia dan peralihan ke arah cekap tenaga dan alam sekitar.

Penyenaraian kumpulan itu katanya adalah peristiwa penting sepanjang 18 tahun penubuhan Ecoscience.

"Ia akan memberi manfaat kepada kami dalam banyak aspek termasuk penambahbaikan pengiktirafan jenama dan keyakinan keseluruhan yang lebih besar terhadap kumpulan daripada pihak berkepentingan.

"Lebih penting lagi, pembiayaan baru bagi RM24.7 juta yang diterima akan membolehkan kami memulakan fasa pengembangan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penyenaraian sulung Ecoscience.

Choi Ong berkata, minyak sawit serba boleh adalah komoditi penting dan ruji di seluruh dunia, justeru itu, keperluan bagi kilang minyak sawit baharu akan terus ada.

Beliau berkata, ia juga termasuk penggantian atau peningkatan semula kilang sedia adanya.

Katanya, dengan itu, kumpulan mahu meneruskan langkah mengukuhkan kehadirannya dalam peringkat global, bermula dengan penubuhan pejabat dan kemudahan di Indonesia.

"Kami percaya kedudukan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia akan menyediakan kami platform yang sangat baik untuk membawa Ecoscience ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Ecoscience memperuntukkan RM5 juta (20.3 peratus) untuk pengembangan perniagaan di Indonesia dan RM1 juta (4.1 peratus) untuk pengembangan perniagaan kecekapan alam sekitar dan tenaga.

Tambahan RM7.9 juta (31.8 peratus) dan RM7 juta (28.4 peratus) pula diperuntukkan untuk modal kerja dan pembayaran balik pinjaman bank.

Baki RM3.8 juta (15.4 peratus) pula akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Berita Harian X