Selasa, 12 Julai 2022 | 7:55pm
Metronic Global Bhd. - NSTP/IHSAN PEMBACA
Metronic Global Bhd. - NSTP/IHSAN PEMBACA

Mtronic peroleh 2 kontrak solar di Kedah, RM50 juta

KUALA LUMPUR: Metronic Global Bhd menerusi Sinaran PPA Sdn Bhd, syarikat usaha sama dengan Earthtech Sdn Bhd, memeterai dua perjanjian pembelian kuasa di Kedah dengan jumlah nilai kontrak RM50 juta dengan jumlah kapasiti 4,121 kWp untuk tempoh 25 tahun.

Menurut Metronic Global dalam kenyataan hari ini, pembinaan dan pemasangan kemudahan PV solar susulan daripada kedua-dua perjanjian pembelian kuasa itu dijangka siap pada suku keempat 2022 dengan permulaan operasi sejurus selepas itu.

Katanya, berikutan itu, rancangan Metronic untuk menceburi Perniagaan Tenaga Suria adalah berdasarkan pandangan dan prospek yang menggalakkan untuk industri PV solar di Malaysia.

"Pendapatan berulang jangka panjang yang akan dijana daripada pajakan tenaga elektrik yang dijana daripada kemudahan PV solar kepada pemilik tapak di bawah aktiviti pajakan solar yang akan dijalankan oleh Sinaran PPA juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kami.

"Selain daripada dua kontrak pajakan solar ini, Sinaran PPA sedang dalam rundingan berhubung potensi kontrak pajakan solar dengan pemilik bangunan di pelbagai lokasi di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dengan jumlah cadangan saiz 29,260 kWp dan anggaran jumlah nilai kontrak RM300 juta untuk tempoh 25 tahun," katanya.

Berdasarkan Terbitan Hak terkini Metronic Global pada harga terbitan RM0.06 dengan waran percuma (Mtronic-WB) berdasarkan enam saham hak bersama dua Mtronic-WB untuk setiap satu saham Metronic Global sedia ada yang dipegang oleh pemegang saham pada 10 Jun 2022 (Terbitan Hak), syarikat itu pada 5 Julai lalu mengumumkan bahawa Terbitan Hak berkenaan telah 99.88 peratus dilanggan dan berjaya mengumpul RM77.97 juta.

Dengan selesainya Terbitan Hak terbabit, Metronic Global telah mengumpul dana yang diperlukan untuk Sinaran PPA untuk memulakan perniagaan solar.

Hasil daripada dana ini akan digunakan untuk membiayai pemerolehan bahan, jentera dan pentauliahan bangunan kilang serta menyediakan Sinaran PPA untuk melaksanakan kontrak 29,260 kWp lagi.

Dana sedemikian juga dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan Sinaran PPA pada masa hadapan sekali gus membolehkannya mendekati lebih ramai pelanggan berpotensi untuk kontrak pajakan solar pada masa hadapan.

Berita Harian X