Jumaat, 8 Julai 2022 | 10:49pm
Ecoscience International Bhd
Ecoscience International Bhd

IPO Ecoscience terlebih langgan 7.23 kali

KUALA LUMPUR: Bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO) Ecoscience International Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE telah terlebih langgan sebanyak 7.23 kali.

Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia perkhidmatan pengilangan sawit bersepadu itu berkata, ia menerima 3,908 permohonan bagi 139.89 juta saham bernilai kira-kira RM42.0 juta bagi 17 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 7.23 kali.

"Bagi bahagian awam Bumiputera, 2,187 permohonan untuk kira-kira 59.73 juta saham diterima, bermakna kadar terlebih langganan sebanyak 6.03 kali.

"Bagi bahagian awam bukan Bumiputera, 1,721 permohonan untuk kira-kira 80.16 juta saham diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 8.43 kali," katanya.

Ecoscience berkata, 6.80 juta saham yang tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak, dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat telah dilanggan sepenuhnya.

Pengarah Urusannya, Wong Choi Ong, berkata sambutan yang menggalakkan itu mencerminkan kepercayaan orang ramai terhadap asas dan prospek kumpulan itu.

"Dengan pembiayaan yang diperoleh, kami kini bersedia untuk melaksanakan rancangan pengembangan kami dan memanfaatkan peluang pertumbuhan yang tersedia dalam industri minyak sawit.

"Antara rancangan itu termasuk penubuhan anak syarikat milik penuh serta penubuhan kemudahan dan pejabat fabrikasi baharu di Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar di dunia," katanya.

Ecoscience dijadualkan akan disenaraikan pada Isnin, 18 Julai 2022.

Semasa penyenaraian, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM102.0 juta berdasarkan harga terbitan 30 sen dan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 340 juta saham.

Hong Leong Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO itu.

-BERNAMA

Berita Harian X