Rabu, 29 Jun 2022 | 2:29pm
Pengarah Urusan Unique Fire, Liew Sen Hoi (enam dari kiri) pada majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengarah Urusan Unique Fire, Liew Sen Hoi (enam dari kiri) pada majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Eizairi Shamsudin

IPO Unique Fire jana modal RM21.78 juta

KUALA LUMPUR: Unique Fire Holdings Bhd menyasar untuk mengumpul RM21.78 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 5 Ogos.

Syarikat pegangan pelaburan itu terbabit dalam pemasangan, pengedaran dan pembuatan perlindungan kebakaran aktif sistem, peralatan dan aksesori.

Pengarah Urusan Unique Fire, Liew Sen Hoi, berkata daripada hasil yang diperoleh, RM2.5 juta akan diperuntukkan untuk pembesaran kemudahan pembuatan.

"Kami akan mengembangkan kemudahan pembuatan dengan memasang dua barisan pembuatan silinder pemadam api kimia kering mudah alih baharu, yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran semasa iaitu 210,000 unit, sebanyak lebih 220 peratus," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran prospektus IPO syarikat itu, hari ini.

Sen Hoi berkata, sejumlah RM6 juta akan digunakan bagi menubuhkan pejabat jualan dan gudang baharu di Johor dan Pulau Pinang, serta meningkatkan aktiviti pengiklanan dan pemasaran syarikat, termasuk menyertai pameran di pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Kami juga telah memperuntukkan RM5.3 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan operasi dengan pengembangan kapasiti kawasan storan selain melaksanakan sistem pengurusan gudang, serta menambah baik sistem teknologi maklumat untuk memastikan operasi kami berjalan lancar dan cekap," tambah beliau.

Di samping itu, RM4.58 juta akan diketepikan untuk modal kerja dan baki RM3.4 juta akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif Unique Fire, Datuk Marcus Liew, pula berkata syarikat itu secara beransur-ansur akan menerokai pasaran antarabangsa dan berharap dapat menembusi pasaran-pasaran eksport.

"Antara strateginya termasuk pematuhan kepada Standard British yang ketat yang akan membolehkan Unique Fire mengeksport ke kebanyakan negara Komanwel," katanya.

Mengenai prospek syarikat, Liew berkata syarikat itu optimis mencatatkan pertumbuhan yang mampan pada tahun-tahun mendatang, disokong oleh asas perniagaannya yang kukuh.

Sementara itu, IPO Unique Fire terdiri daripada terbitan awam sebanyak 83.75 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 30 juta saham sedia ada.

Pada harga terbitan 26 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 400 juta saham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM104 juta selepas penyenaraiannya.

Permohonan untuk terbitan awam dibuka semalam dan akan ditutup pada 22 Julai 2022.

-BERNAMA

Berita Harian X