Ahad, 26 Jun 2022 | 11:41am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) bersama Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (tiga dari kiri) membuat persiapan untuk menanam anak pokok bakau sempena pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh, Tumpat - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) bersama Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (tiga dari kiri) membuat persiapan untuk menanam anak pokok bakau sempena pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh, Tumpat - Foto BERNAMA

UMW sasar tanam 300,000 pokok bakau

TUMPAT: UMW Holdings Bhd menyasarkan untuk menanam sebanyak 300,000 pokok bakau di sepanjang pesisiran pantai di negara ini menjelang 2023, menurut Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau berkata, inisiatif Pucuk Hijau UMW itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025).

"Kita cukup sedar bahawa isu kelestarian alam sekitar bukanlah suatu perkara yang akan merencatkan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya, ia adalah pelaburan jangka panjang yang akan memberi pulangan berganda.

"Oleh itu, ekosistem paya bakau dikenal pasti sebagai tanaman terbaik yang boleh melindungi bumi daripada ancaman perubahan iklim dan pemanasan global dengan penyerapan karbon atmosfera lebih lima kali ganda per hektar berbanding hujan tropika," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di Pantai Sri Tujoh, dekat sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hamad Kama Piah berkata, agenda kelestarian adalah peluang yang cukup besar kepada entiti korporat melalui penggunaan teknologi baharu yang dapat menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar, selain kaedah penjanaan tenaga yang lebih mampan seperti penemuan bateri sel bahan bakar hidrogen untuk kegunaan bermotor.

"Bukan hanya peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan, malah pelaburan hijau juga mampu memangkin sektor ekonomi yang mempunyai kesan pengganda yang meluas.

"Pelaburan sebegini juga adalah satu kaedah pengurusan risiko bagi peserta industri kerana ia dapat mengelakkan pelbagai kos pasca bencana yang jauh lebih besar dan boleh menjejaskan penciptaan nilai jangka panjang oleh kumpulan korporat," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X