Ahad, 26 Jun 2022 | 11:11am
Pertama Digital Bhd
Pertama Digital Bhd

Pertama Digital jual aset di China

KUALA LUMPUR: Pertama Digital Bhd mengumumkan langkah untuk memuktamadkan penjualan aset asing di China yang terbabit dalam pengeluaran fabrik, untuk membolehkannya memberi tumpuan kepada perniagaan penyelesaian digital dan mudah alih.

Penjualan BeTop Group Ltd, yang dahulunya dikenali sebagai Sinotop Holdings Bhd dan Top Textile (Suzhou) Co Ltd, telah meningkat kepada tranche kedua pada 16 Julai 2021.

"Syarikat berusaha untuk menyelesaikan penjualan itu secepat mungkin bagi memberi tumpuan kepada operasi perniagaan utama yang baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Pertama Digital berkata, pelbagai perkembangan penting menunjukkan perniagaan penyelesaian mudah alih dan digitalnya berdaya maju, mampan dan mempunyai prospek pertumbuhan yang cerah.

Ia berkata, perniagaan penyelesaian mudah alih dan digitalnya termasuk portal SMS kerajaan iaitu mySMS, aplikasi pembayaran mudah alih MyPay dan eJamin, adalah penyelesaian pembayaran jaminan mahkamah telefon pintar pertama di dunia kini beroperasi di mahkamah di seluruh negara.

Aplikasi mudah alih syarikat untuk urus niaga selamat, mudah dan pantas dengan agensi kerajaan, MyPay juga digunakan sebagai platform digital untuk melancarkan penukaran syiling.

"Susulan kejayaan bukti konsep (POC) di Subang Parade sejak 18 bulan lalu, Pertama Digital merancang untuk melancarkan rangkaian 1,000 pusat penukaran syiling di seluruh negara.

"Kami sedang berusaha untuk mengulangi kejayaan sebelum ini untuk menawarkan kemudahan penukaran syiling yang tidak digunakan kepada orang ramai," katanya.

Pengerusi Pertama Digital, Tun Zaki Azmi, berkata dengan satu pengumuman akan dibuat berikutan pelbagai pelan yang sedang dirancang ketika ini, ahli lembaga yakin bahawa prospek perniagaan penyelesaian digital syarikat dan mudah alih adalah positif.

Beliau berkata, unit Pertama Digital Dapat Vista, merancang untuk memasang mesin deposit tunai di semua mahkamah untuk menjadi strategi tambahan kepada eJamin yang akan membolehkannya beroperasi 100 peratus dalam talian dan digital dalam tempoh tiga hingga lima tahun ke depan.

"Prospek Dapat Vista dan prospek operasi perniagaan baharu syarikat dalam segmen penyelesaian digital dan mudah alih dijangka meningkat dengan baik dengan potensi pertambahan pendapatan yang positif," katanya.

Selain itu, beliau berkata Dapat Vista turut mengendalikan mySMS 15888 secara eksklusif, iaitu perkhidmatan khidmat pesanan ringkas sedia ada yang digunakan oleh agensi kerajaan.

"Kami merancang untuk memacu pertumbuhan eksponen mySMS untuk diterima pakai di semua agensi kerajaan dan dilaksanakan untuk pelbagai kegunaan maklumat seperti peringatan/makluman untuk bencana dan bantuan seperti stiuasi banjir serta situasi lain yang sama," katanya.

Berita Harian X