Sabtu, 25 Jun 2022 | 10:14am
Simbol seladang dan beruang diletakkan di hadapan pintu masuk bursa saham di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur. - NSTP/ZULFADHLI ZULKIFLI.
Simbol seladang dan beruang diletakkan di hadapan pintu masuk bursa saham di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur. - NSTP/ZULFADHLI ZULKIFLI.

IPO Orgabio lebih langganan 50.86 kali

KUALA LUMPUR: Pengeluar minuman pracampuran segera Orgabio Holdings Bhd menyaksikan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu terlebih langganan sebanyak 50.86 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan telah menerima sejumlah 7,562 permohonan orang awam bagi 642.66 juta saham dengan nilai RM199.23 juta.

Sejumlah 2,888 permohonan bagi 354.37 juta saham tersebut telah diterima bagi bahagian awam yang mewakili lebihan langganan sebanyak 56.19 kali manakala bahagian Bumiputera menerima 4,674 permohonan bagi 288.29 juta saham yang menjadi lebihan langganan sebanyak 45.52 kali.

Selain itu, sejumlah 6.2 juta saham untuk permohonan pengarah, pekerja layak serta individu yang berjasa kepada kejayaan syarikat juga telah dilanggan sepenuhnya.

Menurutnya, sebanyak 78.08 juta saham telah ditawarkan untuk penempatan persendirian yang merangkumi 30.98 juta saham bagi pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala sejumlah 22.31 juta saham bagi pelabur terpilih dan 24.79 juta saham untuk Hai-O Enterprises Bhd.

Syarikat terbabit sebelum ini mengumumkan rancangannya untuk mengumpulkan sejumlah RM29.97 juta menerusi langkah IPO tersebut.

– Bernama

Berita Harian X