Jumaat, 24 Jun 2022 | 10:16am
(Gambar hiasan). Salah sebuah kilang sarung tangan getah di Meru. - NSTP/Roslin Mat Tahir.
(Gambar hiasan). Salah sebuah kilang sarung tangan getah di Meru. - NSTP/Roslin Mat Tahir.

Fasa endemik: Sarung tangan getah semakin 'tak laku'

KUALA LUMPUR: Sarung tangan getah global dianggarkan mengalami lebihan bekalan sehingga kira-kira 124 bilion keping pada tahun ini berikutan penurunan permintaan setelah banyak negara beralih ke fasa endemik, demikian kata penganalisis.

Kenanga Research menjangkakan kapasiti pengeluaran sarung tangan getah global meningkat 22 peratus kepada 511 bilion keping pada 2022, sementara permintaan untuk sarung tangan pula dijangka berkurangan sebanyak 10 peratus kepada 387 bilion.

Ia berkata, jangkaan pengurangan permintaan itu sebahagiannya berikutan aktiviti menghabiskan stok simpanan sepanjang rangkaian pengedaran berikutan banyak negara berada di penghujung pandemik.

"Keadaan ini (pengeluaran tinggi, permintaan rendah) menyebabkan lebihan bekalan sebanyak 124 bilion keping," katanya dalam nota penyelidikannya.

Kenanga Research berkata, pada 2023, pihaknya menjangkakan kapasiti pengeluaran sarung tangan global akan meningkat lagi 16 peratus kepada 595 bilion keping memandangkan kapasiti yang dirancangkan ketika pandemik akhirnya direalisasikan.

Bagi permintaan sarung tangan pula, ia menjangkakan permintaan global akan meneruskan pertumbuhan organik sebanyak 15 peratus setiap tahun, sekali gus menyebabkan lebihan bekalan akan meningkat lagi kepada 150 bilion keping.

"Berdasarkan anggaran kami, situasi permintaan-penawaran hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada 2025 apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15 peratus setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan," katanya.

Kenanga Research menjangkakan purata harga jualan (ASP) sarung tangan akan kekal lemah pada separuh kedua 2022 berikutan pengembangan kapasiti besar-besaran oleh peserta industri sedia ada dan peserta baharu ketika pandemik.

Ia berkata, lebihan bekalan bermakna peserta industri sarung tangan mempunyai kuasa penetapan harga yang kurang untuk mengatasi kos dan situasi itu diburukkan lagi oleh kadar penggunaan industri yang rendah, sekali gus memberi tekanan kepada marjin.

Katanya, pengumuman keputusan kewangan baru-baru ini mencadangkan bahawa pendapatan pengeluar sarung tangan masih belum mencapai paras rendah.

Ia berkata, ASP dijangka terus menurun berikutan tahap penggunaan kilang yang rendah purata sekitar antara 50 hingga 60 peratus, yang mana ia dijangka berterusan dalam jangka sederhana di tengah-tengah persaingan yang sengit.

"Keadaan diburukkan lagi oleh permintaan yang semakin lemah seperti yang dibuktikan oleh kadar penggunaan peserta sarung tangan yang rendah mendorong kepada lebihan bekalan, yang mana ia memberi tekanan ke atas ASP ditambah dengan keengganan pelanggan untuk memberi komitmen kepada pesanan yang besar kerana mereka menjangkakan harga jualan akan terus berkurangan," katanya.

Berita Harian X