Khamis, 23 Jun 2022 | 3:11pm
Cawangan 7CAFé by 7-Eleven di Bandar Puteri Puchong -NSTP/Hazreen Mohamad
Cawangan 7CAFé by 7-Eleven di Bandar Puteri Puchong -NSTP/Hazreen Mohamad

7-Eleven buka cawangan terbesar di Malaysia

PUCHONG: 7-Eleven Malaysia membuka kedai dua tingkat utama dikenali 7CAFé by 7-Eleven di Bandar Puteri Puchong, lengkap dengan kedai buku mini dan minuman menerusi kerjasama BookXcess serta Niko Neko Matcha.

Ia sebahagian usaha pengendali rangkaian kedai serbaneka terkemuka itu untuk meningkatkan pengalaman beli-belah gaya hidup pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama 7-Eleven Malaysia, Tan UMing, berkata idea utama penubuhan 7CAFé adalah untuk bekerjasama dengan perniagaan tempatan yang sesuai dengan gaya hidup.

"Dengan Niko Neko sebagai penyedia minuman matcha berkualiti tinggi bersama BookXcess yang mempunyai rangkaian buku yang sangat mudah diakses dan sangat berpatutan untuk semua, kami melihat ini sebagai sesuai untuk konsep 7CAFé.

"7CAFé by 7-Eleven menyasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan tidak lama lagi termasuk di luar Lembah Klang dalam usaha menawarkan cadangan unik kemudahan gaya hidup ini kepada pelanggan," katanya pada pelancaran kedai serbaneka konsep baharu itu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama 7-Eleven Malaysia, Wong Wai Keong.

Cawangan utama 7CAFé by 7-Eleven di Puchong adalah yang terbesar di Malaysia setakat ini.

Menyentuh mengenai tema 7CAFé, Wai Keong berkata, kaunter makanan kedai berkenaan bertemakan gabungan Amerika dengan sentuhan tempatan.

"Kegemaran pelanggan kami ialah Croffle yang didatangkan dengan pelbagai pilihan manis atau savuri serta kopi yang baru dibancuh pada harga yang berpatutan.

"Di bahagian penyejuk, kami memiliki produk seperti hidangan sedia untuk dimakan, onigiri, sandwic serta pencuci mulut yang memberikan pelanggan pelbagai pilihan.

"Di kedai ini, kami memiliki mempunyai pelbagai jenis produk. Kami akan memberi pilihan kepada pelanggan untuk datang dan membeli-belah di kedai serta sebab untuk terus datang kembali," katanya.

Selain produk kemudahan biasa di rak, 7CAFé by 7-Eleven juga meningkatkan kategori produk permintaan lain untuk menawarkan pilihan dan variasi yang lebih luas untuk pelanggan.

Berita Harian X