Isnin, 20 Jun 2022 | 4:29pm
Majlis penyenaraian SFP Tech Holdings Bhd (SFP Tech) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Majlis penyenaraian SFP Tech Holdings Bhd (SFP Tech) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Penampilan sulung SFP Tech di bursa raih premium tinggi

KUALA LUMPUR: SFP Tech Holdings Bhd (SFP Tech) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan mencatat premium 30 sen atau peningkatan dengan harga pembukaan 60 sen berbanding harga terbitan 30 sen.

Ketika pembukaan pada jam 9 pagi, sejumlah 31,996,600 saham penyedia penyelesaian sehenti kejuruteraan dan automasi bersepadu bertukar tangan.

Pada akhir sesi dagangan pagi, saham SFP Tech menokok kepada 66 sen dengan 2,374,628 saham bertukar tangan.

Pengarah Urusan SFP Tech, Keoh Beng Huat, berkata dengan sahamnya terlebih langganan sebanyak 41.61 kali, ia menjadi bukti kukuh berhubung potensinya dalam pasaran.

"Kami akan berusaha untuk meraih pencapaian lebih baik dan nilai kepada pemegang saham yang lebih tinggi pada tahun-tahun mendatang," katanya.

Tawaran awal permulaan (IPO) SFp Tech membabitkan terbitan awam sebanyak 207.44 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 30 sen sesaham.

SFP Tech memiliki permodalan pasaran sebanyak RM240 juta berdasarkan harga terbitan dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 800 juta saham.

Menurut SFP Tech, dana yang diraih menerusi IPO berjumlah kira-kira RM62.23 juta akan digunakan terutamanya untuk perbelanjaan modal merangkumi pembinaan Kilang Pembuatan 3 di Taman Sains Pulau Pinang dan pembelian mesin.

Ia juga akan digunakan untuk mewujudkan pusat reka bentuk dan pembangunan (D&D).

Public Investment Bank Bhd ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi pelaksanaan IPO SFP Tech.

Beng Huat berkata, penyenaraian saham syarikat menandakan permulaan lembaran baharu SFP Tech ke tahap lebih tinggi.

"Kami telah membangunkan pelan hala tuju yang jelas dan berharap untuk berkembang dan mencipta nilai untuk semua pemegang saham.

"Ketika ini, kami ketika memulakan trajektori pertumbuhan yang lebih mencabar bagi meraih pulangan yang lebih baik dan lebih tinggi kepada semua pemegang saham kami," katanya.

Menuju ke hadapan, beliau berkata, SFP Tech merancang untuk mengembangkan lagi perkhidmatan sokongan penyelesaian kejuruteraan dan peralatan automasi ke industri lain seperti automotif dan penjagaan kesihatan.

"Kumpulan juga berhasrat untuk beralih ke industri pemeriksaan semikonduktor menerusi pembuatan platform peralatan pemeriksaan menerusi sistem elektronik dan pengimejan kamera," katanya.

Berita Harian X