Jumaat, 17 Jun 2022 | 3:16pm
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Super App, Amanda Woo menunjukkan AirAsia Pocket pada majlis pelancaran ciri baharu dalam aplikasi super itu di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/ Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Super App, Amanda Woo menunjukkan AirAsia Pocket pada majlis pelancaran ciri baharu dalam aplikasi super itu di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/ Aziah Azmee

AirAsia Pocket sasar lebih sejuta pengguna

KUALA LUMPUR: AirAsia Super App menyasarkan ciri baharu dalam aplikasinya, AirAsia Pocket dapat menarik lebih daripada sejuta pengguna tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Super App, Amanda Woo, berkata sasaran itu adalah berdasarkan kepada peningkatan memberangsangkan yang direkodkan aplikasi itu tahun ini.

Beliau berkata, trafik penggunaan AirAsia Super App meningkat empat kali ganda dan pengguna aktifnya meningkat dua kali ganda dalam beberapa bulan ini.

Malah, katanya paling membanggakan adalah aplikasi AirAsia Super App merekodkan lonjakan muat turun purata sebanyak 50 peratus.

"Dengan ciri terbaharu AirAsia Pocket, dompet elektronik (e-dompet) pada aplikasi super ini, ia akan meningkatkan lagi kadar pertumbuhan.

"Kami mengunjurkan ciri terbaharu AirAsia Pocket akan menarik lebih sejuta pengguna, sekali gus mengukuhkan kehadirian ciri itu di Malaysia sebelum mengembangkannya ke pasaran ASEAN lain," katanya selepas majlis pelancaran AirAsia Pocket di sini, hari ini.

AirAsia Pocket membolehkan pengguna untuk mengisi semula baki dan membuat pembayaran untuk semua produk dan perkhidmatan yang tersedia pada aplikasi itu, di samping berpeluang untuk mendapat ganjaran.

Pengguna AirAsia Pocket berpeluang untuk memperoleh mata ganjaran AirAsia semasa proses pengaktifan, selain menikmati tambahan 10 peratus diskaun untuk semua tempahan penerbangan AirAsia dan 10 kali mata ganjaran AirAsia dengan setiap pesanan melalui AirAsia Food pada hujung minggu.

Woo berkata, ciri terbaharu dalam AirAsia Super App adalah langkah terakhir kumpulan memuktamadkan sepenuhnya ekosistem syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Kewangan AirAsia Super App, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil, berkata AirAsia Pocket kini tersedia untuk semua pengguna AirAsia Super App di Malaysia dalam mata wang ringgit.

Beliau berkata, ia boleh diakses dengan mudah melalui aplikasi super itu dengan mendaftar untuk akaun AirAsia Pocket melalui beberapa langkah mudah.

Katanya, terdapat dua jenis akaun AirAsia Pocket iaitu Lite dan Pro.

Akaun Lite disyorkan untuk kegunaan harian dengan had saiz dompet sebanyak RM500, manakala untuk akaun Pro pula direka untuk transaksi bernilai tinggi dengan had saiz dompet sehingga RM4,999.

Beliau berkata, ciri baharu itu membolehkan pengguna aplikasi untuk membuat pembayaran untuk semua produk dan perkhidmatan di dalam ekosistem Super App dengan lebih pantas.

"Ini termasuk pembayaran untuk tempahan penerbangan dan hotel, serta perkhidmatan lain seperti AirAsia Food, AirAsia Grocer, AirAsia Xpress, atau ketika menempah perkhidmatan e-panggilan melalui AirAsia Ride.

"Ia juga selaras dengan strategi teknologi kewangan kumpulan untuk memacu pengalaman pengguna yang lancar dan menjadikan pembayaran atas talian lebih mudah.

"Melalui kerjasama bersama rakan kongsi kami di Fasspay, pengguna kini boleh menggunakan ciri baharu ini tanpa ragu kerana ia adalah selamat, patuh dan dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Berita Harian X