Rabu, 15 Jun 2022 | 2:27pm
AirAsiaX
AirAsiaX

AirAsia X sasar pulih sepenuhnya dalam tempoh dua tahun

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd (AAX) menyasar berupaya pulih dengan kapasiti penumpang kembali ke tahap pra-COVID-19 dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail, berkata sasaran itu adalah berdasarkan kepada penyambungan semula operasi penerbangan jarak jauh itu pada awal tahun ini.

Beliau berkata, ia juga seiring dengan peningkatan semula permintaan untuk perjalanan jarak jauh disebabkan banyak negara sudah membuka kembali pintu sempadan antarabangsa mereka.

Katanya, selepas dua tahun terpaksa menggantung penerbangan AAX, kumpulan terus optimis dan teruja untuk kembali menjadi antara pemain utama segmen penerbangan jarak jauh.

"Walau bagaimanapun kami masih perlu berhati-hati dalam meningkatkan kapasiti kami. AAX perlu terlebih dahulu memastikan laluan yang dituju itu mampu memberikan nilai semula.

"Melalui penilaian dan perancangan yang dilaksanakan AAX, kami mengunjurkan bahawa akan mencapai tahap sebelum COVID-19 dalam masa dua tahun.

"Jika pasaran kembali melonjak lebih pantas, sudah tentu kami akan mempercepatkan segala perancangan. Namun jika ia bergerak secara sederhana, kami akan mengambil masa kami untuk mencapai kapasiti sebelum COVID-19," katanya selepas majlis pelancaran semula AAX di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun dan Presiden (Komersial) Capital A, Colin Currie.

Ketika ditanya mengenai langkah AAX untuk mengambil semula kakitangannya yang diberhentikan sebelum ini, Benyamin berkata ia sentiasa menjadi keutamaan kepada pihaknya termasuk AirAsia.

Beliau berkata, ketika ini AAX ingin memperkukuhkan semula operasi penerbangannya dengan tenaga kerja yang sedia ada.

"Jika AAX dapat kembali meningkat dengan mendadak, mencapai sasaran penggunaan pesawat dan memerlukan kembali tenaga kerja, sudah tentu kami akan membuka semula peluang pekerjaan ini.

"Kami sangat berharap untuk mengambil kembali juruterbang serta kru kabin kami secara beransur-ansur," katanya.

Benyamin berkata, model baharu AAX yang strategik iaitu menggabungkan perkhidmatan kargo dan penumpang memberi keuntungan kepada kumpulan.

Beliau berkata, apa yang dilaksanakan AAX tidak mungkin akan dapat dilakukan syarikat penerbangan lain.

Katanya, dengan menjadikan operasi untuk penerbangan ke laluan yang lebih jauh seperti Dubai, Istanbul dan London, ia akan memastikan AAX dapat bersaing secara komersial dan lebih berpatutan kepada pelanggan.

AAX mengumumkan akan memulakan penerbangan jarak jaug dari Kuala Lumpur ke laluan baru iaitu London, Dubai dan Istanbul pada suku keempat tahun ini.

Selain itu, AAX turut memperkenalkan empat laluan baharu ke Jepun dan Hawaii yang akan mula dijual mulai 15 Jun 2022.

Benyamin berkata, AAX kini menawarkan penerbangan ke tujuh laluan popular dari Kuala Lumpur ke New Delhi, Sydney, Seoul (Incheon), Tokyo (Haneda), Sapporo (Chitose), Osaka (Kansai), dan daripada Osaka (Kansai) ke Honolulu.

Beliau berkata, semua laluan ini tersedia untuk ditempah bermula hari ini hingga 26 Jun 2022, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai 2022 dan 26 Mac 2023, bermula daripada RM499 untuk tempat duduk ekonomi dan daripada RM1,499 untuk tempat duduk Premium Flatbed.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Capital A dan Pengasas AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pelancaran semula AAX ini menjadi hari yang bermakna kerana cabang penerbangan jarak jauh kumpulan itu kembali melebarkan sayapnya dengan semangat baharu.

Beliau berkata, penyambungan semula empat laluan jarak sederhana popular dan pengumuman tiga perkhidmatan jarak jauh baharu merupakan satu lagi pencapaian yang membanggakan setelah melalui satu tempoh yang sukar dalam sejarah industri penerbangan.

"Kami teruja untuk kembali ke London dan melancarkan penerbangan buat pertama kali ke Dubai dan Istanbul.

"Kami yakin semua destinasi-destinasi ini akan menjadi popular dan kami mengalu-alukan semua tetamu terbang bersama kami," katanya.

Berita Harian X