Rabu, 15 Jun 2022 | 1:58pm

Orgabio bakal ke Pasaran Ace Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Orgabio Holdings Bhd, pengeluar minuman pracampuran segera yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia bulan depan, merancang untuk mengumpul RM29.97 juta modal dijana daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

Berdasarkan harga terbitannya pada 31 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 247.9 juta saham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran berjumlah RM76.8 juta selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 5 Julai.

Daripada hasil yang diperoleh, Orgabio akan memanfaatkan RM16 juta atau 53.4 peratus untuk membiayai sebahagian pembinaan kilang baharunya di Semenyih, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Ean Yong Hien Voon kepada pemberita selepas majlis pelancaran prospektus syarikat secara maya hari ini.

Beliau berkata pertambahan kapasiti itu akan membolehkan syarikat menerima pelanggan baharu dan lebih banyak pesanan hasil daripada rancangannya untuk mengembangkan asas pelanggan dalam segmen jualan langsung, meningkatkan jualan eksport dan memperluaskan rangkaian penawaran produk dan kehadiran pasaran jenamanya.

"Kami merancang untuk mengembangkan asas pelanggan dalam segmen jualan langsung dengan mendapatkan lebih banyak syarikat jualan langsung tempatan dan luar negara sebagai pelanggan kami, memandangkan syarikat jualan langsung mampu menyediakan kami dengan jumlah pembuatan yang tinggi yang seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan prestasi kewangan kumpulan.

"Dalam empat tahun kewangan lalu berakhir pada 30 Jun, jualan kami kepada syarikat jualan langsung menyumbang antara 61.4 peratus dan 80.6 peratus kepada hasil kumpulan," katanya sambil menambah sehingga 17 Mei, 2022, Orgabio mempunyai sembilan syarikat jualan langsung tempatan sebagai pelanggannya.

Yong berkata syarikat itu akan menggunakan RM8.14 juta atau 27.2 peratus daripada hasil itu untuk keperluan modal kerja, terutamanya untuk membeli bekalan seperti susu tepung, krimer, serbuk kolostrum, serbuk kopi, gula dan kerajang uncang yang digunakan dalam pengeluaran produknya.

Bagi modal selebihnya, RM2.23 juta (7.4 peratus) akan digunakan untuk membeli jentera baharu bagi menyokong dan meningkatkan kecekapan aktiviti pembuatan sedia ada manakala RM3.60 juta (12 peratus) akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, mengulas mengenai harga bahan mentah yang tidak menentu, beliau berkata Orgabio telah mula menyalurkan kenaikan kos bekalan kepada pelanggannya dengan menaikkan harga jualan secara progresif bagi meningkatkan margin keuntungan kasar syarikat selain telah mengambil kira kenaikan harga bahan mentah apabila mengeluarkan sebut harga kepada pelanggan baharu.

"Kami memberi pelanggan kami notis awal tiga bulan mengenai perubahan harga, dan selepas mendapat persetujuan, pesanan pembelian baharu dengan harga terlaras akan dikeluarkan untuk pesanan akan datang," tambahnya.

Di bawah penyenaraian itu, Orgabio menerbitkan 96.7 juta saham baharu, yang mana 12.4 juta saham (lima peratus) diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 6.2 juta saham (2.5 peratus) untuk pengarah dan pekerjanya yang layak serta pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan Orgabio.

Baki 78.1 juta saham (31.5 peratus) pula diketepikan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan pelabur terpilih termasuk pelabur khusus..

Yong berkata IPO itu telah menarik dan berjaya mendapatkan kumpulan penjagaan kesihatan tradisional Hai-O Enterprise Bhd, anak syarikat milik penuh Beshom Holdings Bhd yang disenaraikan di Pasaran Utama, sebagai pelabur penyokongnya.

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan syarikat untuk pelaksanaan IPO.

– Bernama

Berita Harian X