Selasa, 14 Jun 2022 | 1:45pm
Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai.
Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai.

Modal IPO bantu Seng Fong perluas operasi, pelanggan

KUALA LUMPUR: Seng Fong Holdings Bhd (Seng Fong) akan menggunakan modal yang diraih daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi tujuan pengembangan operasinya.

Syarikat pengeluar getah dan pedagang Getah Standard Malaysia (SMR) serta getah blok gred premium itu dijadual akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd tidak lama lagi.

IPO Seng Fong membabitkan penerbitan 160.87 juta saham biasa atau 31 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat yang diperbesarkan yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 90.81 juta saham dan tawaran untuk jualan sebanyak 70.06 juta saham.

Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai, berkata penyenaraian itu akan membantu syarikat mengembangkan pangkalan pelanggannya di peringkat global sambil membolehkan mereka mendapat akses kepada pasaran modal untuk mengumpul dana bagi peluang pertumbuhan masa hadapan.

Beliau berkata, ia juga membolehkan syarikat mengoptimumkan pengeluaran dengan meningkatkan jumlah kapasiti tahunannya.

Ini katanya akan dilaksanakan melalui pengambilan pekerja tambahan untuk syif kerja kedua dan melaksanakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menjadikan perniagaannya menjadi lebih mapan.

"Kami berhasrat untuk menggunakan sebahagian daripada hasil yang dinaikkan IPO untuk membiayai keperluan modal kerja bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran tahunan kepada 166,000 tan metrik menjelang 2023 daripada kapasiti semasa 142,000 tan metrik.

"Untuk meneruskan inisiatif ESG, kami juga menggunakan hasil yang diperoleh daripada IPO untuk membayar balik pinjaman bank yang telah kami gunakan untuk memasang dua sistem solar, yang akan membantu mengurangkan perbelanjaan elektrik secara keseluruhan," katanya pada pelancaran prospektus Seng Fong di sini, hari ini.

Hock Lai berkata, selain itu, Seng Fong turut memperuntukkan dana yang diperoleh daripada IPO untuk pemasangan dua sistem biojisim menggunakan serpihan kayu dan menggantikan diesel untuk mengurangkan kos bahan api keseluruhan untuk kemudahan kilangnya.

Beliau berkata, syarikah menganggarkan bahawa penggunaan sistem solar akan menghasilkan penjimatan sebanyak RM2.6 juta manakala sistem biojisim akan membantu kami menjimatkan RM3.5 juta.

Di samping penjimatan kos katanya, penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan penggunaan elektrik dan bahan api adalah selaras dengan penekanan untuk mempunyai operasi perniagaan yang mampan dan keperluan untuk memulihara alam sekitar.

"Syarikat optimis akan dapat memanfaatkan IPO ini untuk mencapai objektif segera disamping meningkatkan kehadirannya di pasaran antarabangsa untuk pemprosesan getah.

"Hampir semua hasil Seng Fong diperoleh daripada jualan kepada pelanggan antarabangsa untuk tahun kewangan 2019 sehingga 2021.

"Bagi sembilan bulan berakhir 31 Mac 2022, Seng Fong mencatatkan hasil RM662.43 juta dengan untung kasar RM61.74 juta dan untung selepas cukai RM31.32 juta.

"Berdasarkan asas kukuh dan reputasi perniagaan kami, kami berhasrat untuk mengesyorkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan bersih tahunan sebagai dividen kepada pemegang saham tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah dan pemegang saham," katanya.

Melalui IPO itu, Seng Fong akan memperuntukkan sebanyak 42.20 juta saham atau 8.1 peratus daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan untuk tawaran runcit.

Ia merangkumi 25.95 juta saham untuk permohonan awam di mana 50 peratus daripadanya akan diketepikan untuk pelabur bumiputera termasuk individu, syarikat, persatuan, koperasi dan institusi.

16.25 juta saham pula dikhaskan untuk permohonan oleh orang yang layak.

Tawaran institusi pula disediakan sebanyak 118.67 juta saham mewakili 22.9 peratus daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan dengan 64.87 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan 53.80 juta saham melalui penempatan persendirian kepada institusi lain dan pelabur terpilih.

Berita Harian X