Selasa, 14 Jun 2022 | 1:07pm
Dari kiri Kelvin Pah, Pengarah Eksekutif SNS Network Technology;Ko Yun Hung, Pengarah Urusan SNS Network Technology; Rachel Ho, Timbalan Ketua Kewangan Korporat M&A Securities Sdn Bhd; Datuk Bill Tan, Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities dan Gary Ting, Ketua Kewangan Korporat M&A Securities.
Dari kiri Kelvin Pah, Pengarah Eksekutif SNS Network Technology;Ko Yun Hung, Pengarah Urusan SNS Network Technology; Rachel Ho, Timbalan Ketua Kewangan Korporat M&A Securities Sdn Bhd; Datuk Bill Tan, Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities dan Gary Ting, Ketua Kewangan Korporat M&A Securities.

SNS lantik M&A Securities taja jamin IPO

KUALA LUMPUR: Pembekal sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penyelesaian SNS Network Technology Bhd (SNS) memeterai satu Perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd sempena dengan pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, IPO itu membabitkan terbitan awam sebanyak 362.9 juta saham baharu dalam SNS, mewakili 22.5 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan dan tawaran untuk Jualan sebanyak 48.4 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

Katanya, daripada 362.9 juta saham baharu, 80.6 juta saham baharu akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian; 48.4 juta saham baharu untuk Pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kumpulan SNS di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu; 201.6 juta saham baharu dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) manakala baki 32.3 juta saham baharu akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.

"Selaras dengan Perjanjian Penajajaminan itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 129.0 juta saham baharu yang disediakan untuk permohonan oleh rakyat Malaysia dan Peruntukan Borang Merah Jambu.

"SNS terbabit terutamanya dalam penyediaan produk, perkhidmatan dan penyelesaian ICT. Aktiviti perniagaan teras Syarikat itu ialah penjualan produk ICT yang terdiri daripada perkakasan, peranti dan perkakasan berkaitan untuk jenama pihak ketiga dan jenamanya sendiri, JOI® melalui saluran kedai fizikalnya, saluran kedai dalam talian dan saluran komersial," kata kenyataan itu.

SNS juga terbabit dalam penyediaan perkhidmatan pembaikan peranti dan berkaitan untuk Apple serta penjualan perkhidmatan jalur lebar untuk Telekom Malaysia, Celcom dan Maxis.

Pengarah Urusan SNS, Ko Yun Hung, berkata pemeteraian perjanjian itu membawa syarikat itu selangkah lebih dekat ke arah penyenaraian di Bursa Securities.

"Penyenaraian itu tepat pada masanya untuk Kumpulan kami kerana ia akan membolehkan kami memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk mengumpul dana bagi mempercepatkan pertumbuhan aktiviti perniagaan teras kami."

"Pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 telah menyebabkan kerajaan mengenakan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan virus itu. Ini telah meningkatkan permintaan untuk produk dan perkhidmatan ICT kerana pengaturan bekerja dari rumah dan kelas dalam talian untuk pelajar.

"Pandemik ini juga menjadi pemangkin kepada penerimaan pantas dan pelaksanaan inisiatif pendigitalan dalam perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu untuk kelestarian perniagaan. Oleh itu, dengan kebergantungan kepada ICT yang meningkat, permintaan untuk produk dan perkhidmatan ICT dijangka kekal kukuh pada masa hadapan," tambah beliau.

Modal diraih daripada IPO itu akan digunakan terutamanya untuk perbelanjaan modal untuk mengembangkan perkhidmatan berasaskan langganan DaaS Syarikat itu dan untuk membiayai sebahagian pembinaan Hab Serantau Syarikat yang baharu.

SNS dijadualkan akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang September 2022.

Berita Harian X