Selasa, 14 Jun 2022 | 1:06pm
Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng (lima dari kanan) pada majlis penyenaraian syarikat di Pasaran ACE hari ini - Foto ihsan Unitrade
Pengarah Urusan Unitrade, Nomis Sim Siang Leng (lima dari kanan) pada majlis penyenaraian syarikat di Pasaran ACE hari ini - Foto ihsan Unitrade

Dagangan sulung Unitrade di Bursa Malaysia bermula lemah

KUALA LUMPUR: Pengedar dan pemborong bahan binaan, Unitrade Industries Bhd menyaksikan penampilan pertama di Pasaran ACE hari ini pada diskaun 5.5 sen atau 17 peratus lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 32 sen.

Urus niaganya dibuka pada 26.5 sen dengan sejumlah 13.8 juta saham saling berpindah tangan.

Pengarah Urusannya, Nomis Sim Siang Leng, berkata biarpun penyenaraian itu dilihat sebagai kurang sesuai pada masa ini akibat persekitaran pasaran global, syarikat itu sebaliknya yakin dengan asas-asas sedia ada dan akan terus berkembang tanpa mengambil kira harga saham pada hari ini.

"Penurunan semalaman Wall Street yang sebegitu mendadak telah memberi kesan kepada seluruh dunia dan di luar kawalan kami. Namun, kami yakin asas-asas syarikat kekal kukuh...kami lebih mengambil kira pandangan jangka panjang syarikat, perniagaan serta harga saham itu sendiri," katanya pada sidang media secara maya mengenai penyenaraian Unitrade di Pasaran ACE, hari ini.

Menurut Siang Leng, susulan langkah penempatan semula gudang dengan skala saiz lebih sekali ganda daripada sebelum ini serta jumlah kutipan IPO, syarikat berkenaan mempunyai kapasiti serta kemampuan bagi meningkatkan jumlah inventori serta rangkaian produk untuk memenuhi permintaan daripada sektor pembinaan.

"Malah, kami juga adalah antara yang pertama di Malaysia yang mewujudkan pusat fabrikasi paip baharu dalam usaha meningkatkan lagi perkhidmatan dengan nilai tambah kepada pelanggan," katanya.

Siang Leng juga menyifatkan kemudahan itu akan memberi banyak manfaat kepada pelanggan selain melibatkan jumlah tenaga kerja yang lebih kecil, mempercepat kemajuan pembinaan serta penggunaan ruang yang lebih cekap di tapak binaan.

Syarikat industri yang berpangkalan di Selangor itu berjaya mengumpulkan sejumlah RM100 juta daripada terbitan awam menerusi IPO dengan RM50.5 juta akan dimanfaatkan sebagai modal kerja manakala RM39.8 juta bagi tujuan pembayaran semula pinjaman bank.

Selain itu, sejumlah RM5 juta akan diperuntukkan bagi perbelanjaan modal mewujudkan pusat fabrikasi paip manakala baki RM4.7 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian itu.

Penyenaraian itu membabitkan terbitan awam 312.5 juta saham biasa baharu pada harga 32 sen sesaham atau kira-kira 20 peratus daripada modal saham yang ditambah dan berjaya mengumpul RM100 juta selain tawaran penjualan 125 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Siang Leng turut berkongsi keyakinan syarikat itu terhadap prospek industri bahan binaan, didorong oleh langkah mempercepat serta pelaksanaan beberapa projek prasarana utama.

"Kami misalnya mempunyai rekod prestasi baik dalam membekalkan bahan kepada projek-projek berskala besar sebelum ini. Oleh itu, kami yakin dapat memanfaatkan peluang-peluang yang ada," katanya.

Beliau juga optimis industri terbabit akan kembali meningkat dalam masa terdekat biarpun berlaku kelembapan akibat kekurangan bilangan pekerja dalam sektor binaan.

-BERNAMA

Berita Harian X