Jumaat, 10 Jun 2022 | 11:05am

Ramssol pilih semula CEO, COO

KUALA LUMPUR: Ramssol Group Bhd (Ramssol), penyedia teknologi dan penyelesaian Pengurusan Modal Insan (HCM) tempatan memilih semula pengurusan tertinggi untuk terus menerajui kepimpinan kumpulan.

Dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) kedua yang berlangsung secara maya, pemegang saham meluluskan resolusi untuk memilih semula Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng dan Lee Miew Lan sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Ramssol.

Antara resolusi lain diluluskan pada AGM berkenaan adalah kelulusan fi, imbuhan dan faedah kepada ahli Lembaga Pengarah, pelantikan semula Crowe Malaysia PLT sebagai juru audit dan kuasa menerbitkan saham.

Mengulas mengenainya, Tan berkata, kumpulan mencapai beberapa pencapaian penting bagi tahun kewangan 2021 (TK2021) dengan kemuncak adalah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

"Kami juga bekerjasama dengan firma AI Laiye untuk membantu membina tenaga kerja dengan kemahiran yang diperlukan hari ini dan masa depan, bekerjasama dengan Impiana Hotels Bhd untuk menyediakan program yang diperakui latihan Human Resources Development Corp untuk tenaga kerja Malaysia dan bekerjasama dengan ELMU V Sdn Bhd untuk menggalakkan tadbir urus dan latihan untuk kursus anti-rasuah.

"Kami juga meraih prestasi kewangan dengan mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus dalam pendapatan kepada RM52 juta untuk TK2021 walaupun berdepan landskap perniagaan yang mencabar menerusi penawaran berdaya tahan kami iaitu Feet's dan HCM," katanya.

Beliau berkata, Ramssol melihat potensi besar dalam segmen teknologi pendidikan (EduTech) dan akan terus meneroka peluang untuk berkembang dalam segmen terbabit pada masa depan sebagai sebahagian daripada strategik pertumbuhannya.

"Menuju ke hadapan, kami yakin momentum pertumbuhan syarikat akan berterusan. Kami percaya segmen perniagaan Teknologi Sumber Manusia akan meneruskan momentumnya dengan pertumbuhan yang stabil pada TK2022 sambil terus mencari peluang untuk mengembangkan lagi segmen EduTech," katanya.

Berita Harian X