Khamis, 9 Jun 2022 | 4:55pm
Top Glove Corporation Bhd
Top Glove Corporation Bhd

Keuntungan diraih Top Glove jatuh mendadak

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) merosot kepada RM15.3 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mei 2022 berbanding RM2.04 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Prestasi kurang memberangsangkan pada suku dikaji disebabkan kemerosotan pendapatan kepada RM1.5 bilion daripada RM4.2 bilion yang diraih pada suku ketiga tahun lalu di tengah-tengah kesan normalisasi permintaan dan harga jualan purata (ASP) yang memberi impak kepada industri.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2022, pendapatan jualan pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu berada pada RM4.5 bilion, susut mendadak berbanding RM14.3 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Susulan kemerosotan pendapatan ketara, untung bersih Top Glove berjumlah RM288.6 juta bagi tempoh tiga suku tahun kewangan 2022 berbanding RM7.3 bilion yang dicatatkan pada sembilan bulan tahun kewangan 2022.

Pengarah Urusannya Top Glove, Datuk Lee Kim Meow, berkata prestasi sederhana yang diraih syarikat disebabkan ketidaktentuan akibat peningkatan kos pengeluaran susulan inflasi global dan konflik Russia-Ukraine yang melonjakkan harga minyak mentah dunia.

"Kumpulan menghadapi kenaikan tarif gas asli dan elektrik, serta pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa 1 Mei lalu. Peningkatan kos menjejaskan margin memandangkan Top Glove tidak dapat memindahkan kos sepenuhnya susulan bekalan yang berlebihan," katanya pada taklimat media secara maya, hari ini.

Kim Meow berkata, ASP yang menurun pada kadar lebih perlahan dilihat dapat membantu mengurangkan kesan kos pada masa hadapan.

"Walaupun dalam keadaan mencabar, Top Glove meraih peningkatan jumlah jualan sebanyak enam peratus pada suku dikaji disebabkan oleh pemulihan jualan ke Amerika Syarikat (AS) dari Malaysia dan juga rantau lain.

"Tambahan pula, jualan ke AS dari Malaysia terus meningkat pada suku dikaji, iaitu lapan peratus lebih tinggi berbanding dengan suku sebelumnya selain berpotensi untuk mencatat pertumbuhan selanjutnya yang memberi petanda baik kepada kumpulan," katanya.

Pada suku ketiga, harga purata lateks getah asli pekat meningkat 17 peratus suku ke suku kepada RM6.50 sekilogram (kg), manakala harga purata lateks nitril ialah AS$1.11/kg, 3.0 peratus lebih rendah berbanding suku kedua.

Melihat kepada permintaan yang menyederhana, beliau menjelaskan, Top Glove telah menangguhkan dan mengurangkan perbelanjaan modal utamanya dan terus menstruktur semula rancangan pengembangan.

"Ini adalah masa yang sangat mencabar bagi industri sarung tangan dan keputusan suku tahun ini tidak mencerminkan prestasi perniagaan biasa kami, disebabkan oleh trend normalisasi yang berterusan ditambah dengan ketidakseimbangan permintaan bekalan.

"Bagaimanapun, kami akan terus memberi penekanan kepada asas kami iaitu menghasilkan produk berkualiti dengan kos yang cekap pada masa yang baik mahupun sukar," katanya.

Mengenai prospek perniagaan, Kim Meow berkata, Top Glove percaya bahawa prospek industri sarung tangan masih positif kerana produk itu tetap menjadi keperluan asas dalam sektor penjagaan kesihatan.

"Kami yakin permintaan akan terus meningkat dengan peningkatan penggunaan dari pasaran baru di mana asas penggunaan sarung tangan agak rendah, ditambah dengan tahap kesedaran kebersihan dan kesihatan yang lebih tinggi dalam era pasca pandemik.

"Kumpulan juga menyedari bahawa cabaran adalah sebahagian daripada menjalankan perniagaan dan telah berjaya mengharungi beberapa kitaran sedemikian sejak memulakan operasi 31 tahun yang lalu.

"Oleh kerana faktor luaran bukan dalam kawalan, Top Glove terus memberi tumpuan pada faktor dalaman, yang paling asas adalah sentiasa sihat dan cergas, supaya kami kekal mampan melalui masa yang paling sukar. Ini akan membolehkan kami bersedia untuk masa yang lebih baik di masa hadapan," katanya.

Berita Harian X