Jumaat, 3 Jun 2022 | 2:30pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA Bhd Hairol Azizi Tajudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Fabulous Sunview Ong Hang Ping menandatangani Perjanjian Perikatan Perniagaan Strategik, disaksikan oleh Azhan Yaacob (pertama, kiri) dan Wong Pak Wei (pertama, kanan).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA Bhd Hairol Azizi Tajudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Fabulous Sunview Ong Hang Ping menandatangani Perjanjian Perikatan Perniagaan Strategik, disaksikan oleh Azhan Yaacob (pertama, kiri) dan Wong Pak Wei (pertama, kanan).

Cenergi SEA, Sunview jalin kerjasama strategik

KUALA LUMPUR: Cenergi SEA Bhd (Cenergi), anak syarikat tenaga lestari Khazanah Nasional Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Fabulous Sunview Sdn Bhd (Sunview) bagi membangunkan projek fotovoltaik solar skala utiliti dan menyediakan penyelesaian tenaga lestari bersepadu untuk membantu pelanggan komersial dan perindustrian (C&I) mencapai matlamat kelestarian dan penyahkarbonan mereka.

Di bawah pakatan strategik itu, Cenergi akan menjadi pemaju projek, pelabur dan pengendali, manakala Sunview, peneraju penyedia perkhidmatan solar akan menjadi rakan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Kedua-dua pihak secara agresif melaksanakan dan membangunkan projek solar lebih 25 megawatt (MW) di Malaysia, termasuk pemasangan solar atas bumbung kos sifar untuk pelanggan C&I dan ladang solar berskala besar.

Berdasarkan pencapaian itu, kedua-dua syarikat berhasrat meningkatkan kerjasama strategik mereka untuk menambah lebih banyak projek solar sehingga 100 MW sama ada membabitkan program Solar Berskala Besar (LSS), skim New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) atau skim Virtual Power Purchase Agreement (VPPA).

Mereka juga menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya 15 MW projek solar atas bumbung C&I setahun bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin, berkata kerjasama itu menetapkan satu lagi pencapaian untuk Cenergi, berikutan penerbitan program Sukuk Hijau Korporat tahun lalu selepas baru-baru ini dianugerahkan lima projek tarif galakan (FiT) biogas dengan jumlah kapasiti 10.8MW oleh SEDA Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan organisasi yang mempunyai reputasi seperti Sunview dalam menawarkan penyelesaian tenaga lestari kepada pelanggan di Malaysia dan Asia Tenggara.

"Kami membantu mereka (pelanggan) untuk mempercepatkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka, dan untuk menyokong aspirasi kerajaan Malaysia meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada 40 peratus menjelang 2035 dan ke arah status neutral karbon seawal 2050," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping, berkata pihaknya sangat teruja dan berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Cenergi dan komited sepenuhnya untuk menyediakan penyelesaian RE terbaik dalam kelasnya bagi memenuhi visi dan aspirasi anak syarikat Khazanah itu.

Beliau berkata, selain projek C&I, Sunview kini sedang membina kira-kira 11MWp ladang solar di bawah skim NEDA untuk Cenergi.

"Kami berharap untuk menyampaikan lebih banyak lagi projek untuk Cenergi pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X