Khamis, 2 Jun 2022 | 9:11pm
Unitrade Industries Bhd
Unitrade Industries Bhd

IPO Unitrade terlebih langgan 2.35 kali

KUALA LUMPUR: Pemborong dan pengedar bahan binaan tempatan, Unitrade Industries Bhd memaklumkan bahagian awam daripada tawaran awam permulaan (IPO) terlebih langganan sebanyak 2.35 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Unitrade menerima sebanyak 7,169 permohonan untuk 261.95 juta saham dengan nilai RM83.8 juta daripada orang awam Malaysia bagi 78.12 juta saham, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 2.35 kali.

Pengarah Urusan Nomis, Sim Siang Leng, berkata sambutan positif itu mencerminkan minat dan keyakinan pasaran yang sihat terhadap model perniagaan dan prospek pertumbuhannya.

"Melihat ke hadapan, kami yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan positif kami, didorong oleh peningkatan aktiviti pembinaan dan kemajuan projek infrastruktur berskala besar dalam perancangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Unitrade merancang untuk menggunakan sebahagian besar hasil IPO sebagai modal kerja untuk meningkatkan rangkaian inventori dan campuran produknya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk bahan binaan.

"Sebagai pemborong dan pengedar, modal kerja tambahan adalah penting untuk kami memacu pertumbuhan masa depan kami dan dengan memanfaatkan pasaran modal ekuiti, ia membolehkan kami mencapai perkara itu tanpa menanggung perbelanjaan faedah tambahan," tambahnya.

Sementara itu, bagi bahagian awam, sebanyak 3,684 permohonan untuk 39.06 juta saham telah diterima, bermakna kadar terlebih langganan sebanyak 3.9 kali, manakala bagi bahagian awam Bumiputera selebihnya, sebanyak 3,485 permohonan untuk 39.06 juta saham diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 0.81 kali.

Penyenaraian kumpulan itu melibatkan terbitan awam 312.5 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 32 sen sesaham mewakili kira-kira 20 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, mengumpul RM100 juta, bersama-sama dengan tawaran jualan 125 juta saham sedia ada secara langsung penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Unitrade dijadualkan akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 Jun dan selepas penyenaraian, Unitrade akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM500 juta berdasarkan harga terbitan 32 sen dan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 1,562,500,000 saham.

M & A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO itu.

-BERNAMA

Berita Harian X