Khamis, 2 Jun 2022 | 1:44pm
Kerjasama MPC dan FGV melahirkan bakat yang berdaya saing - Foto ihsan FGV
Kerjasama MPC dan FGV melahirkan bakat yang berdaya saing - Foto ihsan FGV

MPC, FGV tingkat produktiviti pekerja ladang

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus komited menjalin kerjasama dengan FGV Holdings Bhd bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama melaksanakan program peningkatan produktiviti di peringkat sektor perladangan.

Kerjasama MPC-FGV terjalin sejak 2019 dan akan berterusan sehingga 2024 dengan matlamat melahirkan tenaga kerja mampan yang inovatif, berkemahiran dan berpengetahuan di sektor perladangan.

Kerjasama pintar itu dijangka mampu mewujudkan pekerja contoh dengan pemikiran baharu dan tingkah laku yang menyokong transformasi holistik sektor perladangan negara selain turut dapat membina suasana kerja yang positif agar perniagaan dapat beroperasi dengan lancar.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata bakat dan persekitaran perniagaan adalah pemacu pertumbuhan produktiviti yang pesat.

Beliau berkata, pengurusan bakat yang cekap dan berkesan di samping ekosistem perniagaan yang kondusif meningkatkan produktiviti, prestasi serta keuntungan.

Katanya, kerjasama pintar antara MPC dan FGV melahirkan bakat yang berdaya saing, mewujudkan persekitaran perniagaan yang menyokong perkembangan industri perladangan dan pertanian negara.

"Pakar produktiviti yang dihasilkan melalui program peningkatan produktiviti ini berjaya menjalankan projek perundingan di kilang sawit FGV dan menganjak pemikiran pekerja ke arah pengurusan yang cekap dan berkesan.

Kerjasama ini memberi faedah 'Waterfall Effect' dengan kesan limpahan yang besar kepada FGV, kilang-kilang, ladang-ladang dan keseluruhan rantaian nilai bagi pengeluaran hasil, peningkatan produktiviti serta ekonomi dalam sektor perladangan dan juga negara.

"Sasarannya adalah untuk menggandakan pertumbuhan produktiviti organisasi," katanya dalam satu kenyataan.

Melalui kerjasama ini, empat teras utama pelaksanaan aktiviti telah dikenalpasti dan selama 36 bulan sejak kerjasama dimeterai, tiga daripada empat skop pelaksanaan aktiviti ini dapat dilaksanakan.

Buktinya, lapan model perladangan contoh sektor perladangan FGV dianugerahkan Pensijilan QE/5S dengan lima daripadanya menerima pensijilan tertinggi tiga bintang dari MPC selain menerima pengiktirafan lain di peringkat nasional.

Sementara itu, Pengarah Sektor Perladangan Kumpulan FGV, Mohd Sarian Md Sahid, berkata syarikat sentiasa peka dan komited untuk meningkat produktiviti serta kelestarian masa depan syarikat.

Beliau berkata, melalui kerjasama ini pekerja sektor perladangan FGV akan dilatih diri untuk menjadi pekerja berbudaya kreatif dan inovatif yang mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti syarikat.

"Pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) dengan MPC adalah antara usaha dalam Pelan Transformasi Sektor Perladangan yang bermula pada 2019 sehingga 2030.

"Kerjasama MPC-FGV merangkumi Program Pembangunan Kapasiti, Kesedaran dan Outreach, Audit dan Pensijilan selain Kecemerlangan Organisasi dan Perniagaan.

"Berdasarkan keberkesanan kerjasama yang dicapai mulai 2019, FGV dan MPC menyambung tempoh MoC untuk tiga tahun lagi, dengan penambahan inisiatif tambahan selari dengan perkembangan dan keperluan semasa," katanya.

Berita Harian X