Rabu, 1 Jun 2022 | 10:38am
Bank Islam Malaysia Bhd - Foto fail NSTP
Bank Islam Malaysia Bhd - Foto fail NSTP

Bank Islam rekod keuntungan bersih lebih rendah

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd menyusut kepada RM105.92 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2021 berbanding RM158.71 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan elaun bersih yang lebih tinggi untuk rosot nilai ke atas pembiayaan dan pendahuluan.

Bagaimanapun, pendapatan naik 0.4 peratus kepada RM773.97 juta daripada RM770.92 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Prestasi itu diterjemahkan kepada pendapatan sesaham kumpulan sebanyak 4.95 sen dan pulangan tahunan ke atas ekuiti sebanyak 6.4 peratus selepas cukai dan zakat," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bank itu berkata, pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM477.78 juta kebanyakannya didorong oleh pendapatan lebih tinggi daripada pembiayaan.

Manakala, pendapatan bukan berasaskan dana menurun sebanyak 37.1 peratus kepada RM45.34 juta kerana keuntungan bersih lebih rendah daripada penjualan aset kewangan pada nilai saksama dan kerugian bersih lebih tinggi daripada penilaian semula aset kewangan pada nilai saksama.

"Jumlah aset kumpulan meningkat tahun ke tahun sebanyak 11.2 peratus kepada RM80.5 bilion dengan aset bersih sesahamnya pada RM3.09.

"Pembiayaan kasar meningkat sebanyak 6.7 peratus tahun ke tahun kepada RM59.8 bilion manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan berjumlah RM68 bilion dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM6.6 bilion atau 10.8 peratus," katanya.

Bank Islam berkata, jumlah akaun semasa dan simpanan serta akaun pelaburan urus niaga (CASATIA) berada pada paras yang sihat iaitu 38.6 peratus daripada jumlah deposit pelanggan dan akaun pelaburan manakala nisbah pembiayaan terjejas kasar ialah 1.02 peratus berbanding 0.96 peratus pada hujung tahun lalu.

Jumlah nisbah modal kumpulan kekal kukuh pada 19.5 peratus sehingga 31 Mac 2022, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Muazzam Mohamed dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu komited untuk merealisasikan aspirasi dan strategi LEAP25 kerana ia memanfaatkan pemulihan ekonomi yang dijangkakan.

"Kami kini berada dalam fasa pertumbuhan baharu yang berasaskan prinsip persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk memacu penyampaian dan prestasi serta membangunkan Rangka Kerja ESG, menggabungkan iklim dan pengurusan risiko yang mampan dalam penilaian kredit.

"Aspirasi LEAP25 kami adalah untuk menjadi penyedia terkemuka bagi penyelesaian pembiayaan Shariah-ESG menjelang akhir tahun 2025," katanya,

Mengenai cadangan perbankan digital, beliau berkata bank itu telah mengambil usaha proaktif dalam menetapkan teknologi, kakitangan dan produk yang betul untuk memenuhi keperluan segmen sasarannya dan berharap untuk memperkenalkan cadangan perbankan digital Bank Islam pada suku ketiga tahun ini.

Mohd Muazzam berkata, kumpulan itu menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas tahun ini dan sebarang kenaikan dalam OPR akan memberi kesan yang baik kepada keuntungan kumpulan.

"Walaupun pembukaan semula ekonomi serantau membawa kepada peningkatan dalam pertumbuhan pembiayaan dan mengurangkan caj susut nilai, kelemahan pasaran yang dilihat sebelum ini telah mengurangkan kesan positif itu," katanya.

Bagaimanapun, kumpulan itu terus berhati-hati apabila melihat ketidaktentuan ekonomi di sekeliling termasuk gangguan terhadap pertumbuhan perdagangan, harga komoditi yang melambung tinggi dan situasi geopolitik.

"Kami akan meneruskan daya tarikan kepada perniagaan dan saluran menuju tahun 2025 melalui lima pemacu perniagaan iaitu pengurusan kekayaan, kewangan sosial, bank digital, perusahaan dan perbankan borong," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X