Selasa, 31 Mei 2022 | 3:50pm
AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) - Foto Reuters
AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) - Foto Reuters

AmBank catat keuntungan bersih RM1.5 bilion

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) kembali merekodkan keuntungan bersih RM1.5 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, daripada kerugian bersih RM3.83 bilion pada tahun kewangan 2021.

Pendapatannya dalam tahun dikaji turut mengukuh kepada RM4.67 bilion berbanding RM4.55 bilion sebelumnya, dipacu oleh pengembangan margin faedah bersih (NIM) dan pertumbuhan pinjaman.

Bagi tahun kewangan 2022, kumpulan perbankan itu mengisytiharkan dividen akhir 5.0 sen sesaham, dengan nisbah pembayaran dividen 11 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata pada akhir tahun fiskal 2022, AmBank Group berada pada kedudukan yang mantap dengan lembaran imbangan dan permodalan lebih kukuh, selain profil kecairan yang lebih pelbagai.

"Mengekalkan prestasi mantap, kami mengakhiri tahun denagn jumlah pendapatan setinggi RM4.67 bilion.

"Pendapatan faedah bersih (NII) meningkat 11.6 peratus disokong oleh pertumbuhan 6.5 peratus pinjaman, manakala NIM meningkat sebanyak 2.05 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Sulaiman berkata, pendapatan bukan faedah bagaimanapun susut 14.1 peratus, disebabkan oleh persekitaran pasaran tidak menentu yang menghasilkan pendapatan lebih perdagangan dan pelaburan lebih rendah daripada perniagaan perbendaharaan kumpulan, selain pendapatan pelaburan daripada perniagaan insurans.

"Ini sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan yuran lebih tinggi daripada perbankan korporat dan perbankan pelaburan," katanya.

Sebagai bukti kepada pengurusan kos proaktif dan berdisiplin kumpulan, perbelanjaan keseluruhan AmBank Group semasa tempoh dikaji berkurangan 1.8 peratus kepada RM2.1 bilion.

Pinjaman dan pembiayaan kasar berjumlah RM120 bilion, meningkat sebanyak RM7.3 bilion atau 6.5 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.

Ia dipacu oleh pertumbuhan pinjaman merentas semua segmen, sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi dan global yang berterusan.

Pinjaman perbankan runcit berkembang RM3.6 bilion atau 5.6 peratus, disumbangkan terutama oleh pinjaman gadai janji selain pembiayaan peribadi, diimbangi oleh penurunan dan pembiayaan kenderaan.

Sementara itu, pinjaman perbankan borong dan perbankan perniagaan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak RM2.2 bilion dan RM1.5 bilion.

Deposit daripada pelanggan pula meningkat 1.7 peratus kepada RM122.6 bilion, dipacu khususnya oleh pertumbuhan mantap 20.6 peratus baki akaun simpanan akaun semasa (CASA) kepada RM43.1 bilion, yang mengimbangi penurunan 6.3 peratus deposit masa.

Kumpulan perbankan itu mengekalkan tahap kecairan yang tinggi, dengan nisbah liputan kecairan (LCR) sebanyak 158.5 peratus setakat 31 Mac 2022.

Berita Harian X