Selasa, 31 Mei 2022 | 2:31pm
FGV Holdings Bhd
FGV Holdings Bhd

Harga sawit bantu FGV catat untung luar biasa

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM501 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, peningkatan ketara berbanding hanya RM15 juta pada suku sama tahun lalu.

Prestasi luar biasa itu disumbangkan khususnya oleh margin lebih tinggi daripada produk sawit, hiliran, baja dan perniagaan logistik.

Bagi tempoh dikaji, harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada purata RM5,058 satu tan, 59 peratus lebih tinggi daripada harga purata MSM pada suku pertama 2021 iaitu RM3,172 satu tan.

Pendapatan kumpulan meningkat kepada RM5.85 bilion berbanding RM3.39 bilion setahun lalu, lonjakan sebanyak 73 peratus, disokong oleh harga purata MSM yang lebih tinggi, volum lebih kukuh serta harga produk pengguna dan baja yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor, berkata syarikat perladangan itu gembira untuk mengumumkan satu lagi suku kewangan menguntungkan di tengah-tengah cabaran dan ketidaktentuan yang dihadapi oleh kumpulan.

"Kami akan berusaha untuk mengekalkan momentum positif ini demi memenuhi jangkaan pihak berkepentingan dan mencapai sasaran ditetapkan bagi 2022," katanya dalam satu kenyataan.

Pada suku pertama tahun kewangan 2022, FGV merekodkan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) RM509 juta disokong keuntungan operasi RM668 juta, namun diimbangi oleh pelarasan nilai wajar Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) sebanyak RM159 juta.

Sektor perladangan FGV merekodkan keuntungan operasi RM664 juta pada suku dikaji berbanding RM108 juta pada suku sama 2021, dipacu oleh harga MSM lebih tinggi dan peningkatan volum MSM dan minyak sawit diproses.

Segmen huluan di bawah sektor perladangan menyaksikan FGV merekodkan keuntungan operasi RM489 juta pada suku dikaji berbanding RM91 juta pada suku pertama 2021.

Ia berikutan hasil tandan buah segar (FFB) lebih tinggi, kadar perahan minyak (OER) lebih banyak dan faktor penggunaan kilang (UF) yang bertambah baik.

Pendapatan di bawah segmen itu melonjak kepada RM3.18 berbanding hanya RM1.78 bilion dalam suku sama tahun lalu.

Sementara itu, segmen hiliran kumpulan di bawah sektor perladangan mencatatkan keuntungan operasi RM55 juta pada suku pertama 2022 berbanding RM17 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Jumlah jualan minyak dan lelemak FGV meningkat satu peratus kepada 91,773 tan berbanding 91,138 tan sebelumnya berikutan permintaan lebih baik bagi produk pengguna laris (GMCG) ketika pengguna menyimpan stok untuk Ramadhan.

Menuju ke hadapan, FGV berkata, ia akan memperluaskan aktiviti pengeluaran makanan, terutama produk segar bagi menyokong agenda keselamatan makanan kerajaan, dengan salah satu inisiatif terbesar adalah bersama dengan Baladna Dairy Facility.

Beliau berkata, kerjasama itu dimeterai pada 2019 dan ia akan menjadi projek tenusu berskala besar di Lembah Chuping, Perlis.

Sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan industri beras wangi negara, FGV katanya akan membawa lebih banyak produk bagi menampung keperluan pengguna seperti SAJI Basmathi dan SAJI Aroma yang akan dilancarkan pada pertengahan Jun 2022.

"Selain itu, FGV menerusi anak syarikat, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), telah melancarkan Alma, makanan haiwan berkualiti tinggi yang menggunakan kek isirung sawit (PKC).

"FGV menyasar untuk mengeluarkan 75,000 tan makanan haiwan tahun ini, peningkatan ketara daripada 40,000 tan yang dihasilkan tahun lalu, dalam usaha memenuhi lonjakan permintaan dalam industri penternakan seperti lembu, kambing, arnab dan ayam," katanya.

Berita Harian X