Rabu, 25 Mei 2022 | 9:30pm
Supermax Corporation Bhd
Supermax Corporation Bhd

Produk disekat AS, keuntungan Supermax terjejas

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Supermax Corporation Bhd menjunam kepada RM13.01 juta dalam suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM1.01 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Ia selepas jualan terus terjejas oleh Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) selain penurunan dalam harga jualan serta permintaan.

Pembuat sarung tangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan kumpulan jatuh sebanyak 79 peratus atau RM1.53 bilion kepada RM407.8 juta dari suku tahun sebelumnya.

"Dalam tempoh ini, keuntungan daripada segi mutlak dan margin menyusut dengan ketara disebabkan oleh gabungan beberapa faktor," kata syarikat itu.

Faktor-faktor ini merangkumi WRO yang dikenakan oleh pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS pada Oktober 2021 dan tindakan kerajaan Kanada yang menggantung pesanan serta penghantaran daripada Supermax.

Di samping itu, purata harga jualan (ASP) dan permintaan terus mencerminkan penurunan berbanding harga kemuncak yang dinikmati pada tahun lalu ketika dunia sedang dilanda kebimbangan terhadap pandemik CONVID-19.

"ASP terus meleset di tengah-tengah persaingan yang semakin hangat, sedangkan bekalan sarung tangan secara keseluruhan pula mendadak naik sejajar dengan peningkatan kapasiti pengeluaran oleh pemain sarung tangan yang sedia ada dan baharu," katanya.

Bagaimanapun, peralihan struktur yang dicetuskan oleh pandemik akan melihat permintaan kekal pada tahap yang lebih tinggi berbanding dengan tempoh prapandemik dan akan meneruskan trend ke atas dalam jangka masa yang lebih panjang apabila tempoh penyatuan berakhir.

Syarikat itu ketika mengulas mengenai logistik berkata bukan sahaja kos sedang bertambah, tetapi usaha bagi mendapatkan kontena pengiriman kapal untuk pengeksportan sarung tangan turut menghadapi kesukaran.

Bagi tempoh kewangan sembilan bulan kumulatif, keuntungan bersih menyusut kepada RM699.37 juta berbanding RM2.85 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan menurun kepada RM2.39 bilion daripada RM5.29 bilion.

Mengenai pengembangan kapasiti, Supermax berkata ia sedang membina lima kilang pembuatan sarung tangan secara serentak dan dijadualkan siap secara progresif.

"Kilang-kilang ini akan menambah 22.25 bilion kapasiti baharu, menjadikan jumlah kapasiti kumpulan kepada 48.42 bilion sarung tangan apabila fasiliti ini beroperasi sepenuhnya," katanya, sambil menambah bahawa kumpulan itu akan melabur RM1.39 bilion dalam perbelanjaan modal bagi kemudahan terbaharu ini.

Bermula dari bulan ini, kumpulan itu juga telah memulakan pembangunan semula kilang-kilang lamanya memandangkan fasiliti yang sedang dibina akan beroperasi secara berfasa.

Kemajuan pentauliahan fasiliti baharu ini akan bergantung kepada ketersediaan pekerja dan keadaan pasaran, katanya.

Untuk menangani isu gangguan rantaian bekalan, Supermax akan mengembangkan perniagaan ke AS.

"Pada 16 Mei 2022, pelbagai permit bagi memulakan kerja-kerja pembersihan tapak, kerja bumi dan kerja di bawah tanah telah diperolehi.

"Pada 18 Mei lalu, kami secara rasmi telah memulakan kerja pecah tanah kilang di AS," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X