Rabu, 25 Mei 2022 | 4:09pm
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah (kanan) bersama Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt dan Ketua Pegawai Kewangan, Joanne Rodrigues pada sidang media AGM dan EGM kumpulan perbankan itu di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Rohanis Shukri
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah (kanan) bersama Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt dan Ketua Pegawai Kewangan, Joanne Rodrigues pada sidang media AGM dan EGM kumpulan perbankan itu di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Rohanis Shukri

Affin Bank dapat 'lampu hijau' jual pegangan AHAM

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi pelupusan 63 peratus pegangan Affin Hwang Investment Bank Bhd dalam Affin Hwang Asset Management Bhd (AHAM) kepada Starlight Asset Sdn Bhd sebanyak RM1.417 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata kumpulan perbankan itu dijangka menjana hasil RM1.063 bilion daripada pelupusan itu, yang sebahagian besar akan digunakan untuk pelan pertumbuhan masa depan.

Beliau berkata, dengan kelulusan yang diperoleh itu juga, pihaknya bercadang untuk memberikan ganjaran kepada pemegang sahamnya menerusi pemberian dividen khas sebelum akhir tahun ini.

"Kami jangka pelupusan ini akan selesai pada suku ketiga tahun ini. Kemudian kami akan menghantar permohonan untuk mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi dividen khas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Affin Bank di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt.

Mengulas perkembangan terkini Affin Bank, Wan Razly berkata, kumpulan perbankan itu terus mengorak langkah dan melakar pelbagai kejayaan yang dipacu oleh Pelan Metamorfosis AIM22, meskipun berdepan dengan situasi pandemik yang mencabar.

Beliau berkata, pelan tiga tahun itu menekankan beberapa aspek tumpuan utama termasuk pulangan ke atas ekuiti, pengurangan kos keseluruhan dengan menyusun semula lembaran imbangan, transformasi digital bagi mengurangkan jurang antara Affin Bank dengan bank lain, sumber manusia, produktiviti dan pengurusan risiko yang lebih baik.

"Kumpulan komited terhadap sasaran AIM22, dipacu oleh perbankan komuniti dan enterpris.

"Momentum Akaun Semasa Akaun Simpanan (CASA) terus berkembang dan bank juga bersedia untuk melancarkan aplikasi perbankan mudah alih baharu pada suku ketiga 2022," katanya.

Pada AGM yang diadakan itu, pemegang saham Affin Bank meluluskan kesemua resolusi, termasuk pembayaran dividen sebanyak 12.5 sen bagi setiap saham, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Dividen itu diisytiharkan Affin Bank susulan catatan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBT) yang memberangsangkan berjumlah RM703.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, meningkat sebanyak 82 peratus berbanding RM386.7 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Dividen akhir itu akan dibayar menerusi Pelan Pelaburan Semula Dividen, dengan pemegang saham boleh memilih sama ada untuk melabur dalam saham baharu Affin Bank atau menerima bayaran tunai.

Berita Harian X