Isnin, 23 Mei 2022 | 2:24pm
Kumpulan Public Bank - Foto BERNAMA
Kumpulan Public Bank - Foto BERNAMA

Public Bank bantu 438,000 peminjam terjejas

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank membantu kira-kira 24 peratus daripada peminjam dengan jumlah pinjaman melebihi RM8 bilion melalui pelbagai Program Bantuan Pembayaran Balik yang memanfaatkan hampir 438,000 individu dan perniagaan.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata kumpulan perbankan itu turut aktif mempromosikan skim pembiayaan khas yang diperkenalkan kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengatasi cabaran akibat COVID-19.

Beliau berkata, secara keseluruhan, kumpulan meluluskan kira-kira

RM3.4 bilion kepada lebih 17,700 perniagaan PKS di bawah skim pembiayaan khas berkenaan.

"Bantuan pembayaran balik itu tidak terhad kepada pelanggan yang terjejas oleh wabak, tetapi juga kepada pelanggan yang berdepan dengan peristiwa malang seperti banjir.

"Bagi pelanggan yang terjejas oleh banjir, Public Bank segera menghulurkan bantuan kepada mereka untuk menangani kesukaran kewangan yang dihadapi oleh mereka.

"Setakat ini, kumpulan telah meluluskan moratorium banjir berjumlah kira-kira RM1.8 bilion," katanya dalam satu kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) Public Bank ke-56 yang diadakan hari ini.

Hong Piow berkata, Public Bank terus menumpukan pada pembiayaan hartanah kediaman dan kenderaan penumpang serta pemberian pinjaman kepada PKS bagi pembelian hartanah komersial dan pembiayaan modal kerja.

"Jumlah pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat sebanyak 3.6 peratus kepada RM358 bilion pada 2021, dengan pinjaman dalam negeri berkembang sebanyak 3.4 peratus.

"Kumpulan terus mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu bagi pembiayaan runcit dalam negeri dengan bahagian pasaran masing-masing sebanyak 20 peratus dan 34 peratus dalam hartanah kediaman dan pembiayaan hartanah komersial, serta 30 peratus bahagian pasaran dalam pembiayaan sewa beli.

"Kumpulan juga adalah peneraju pembiaya PKS dengan bahagian pasaran sebanyak 22 peratus dalam pembiayaan PKS domestik," katanya.

Dari segi pendanaan, beliau berkata jumlah deposit pelanggan kumpulan

meningkat sebanyak empat peratus kepada RM380.4 bilion pada 2021, dengan deposit dalam negeri berkembang sebanyak 4.5 peratus.

"Deposit simpanan dan semasa Kumpulan yang berkos rendah, khususnya mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 11.7 peratus pada tahun berkenaan," katanya.

Mengenai strategi dan hala tuju strategik kumpulan, beliau berkata peralihan Malaysia kepada fasa pandemik COVID-19 akan menggalakkan lagi aktiviti ekonomi yang penting, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor perbankan.

"Kumpulan akan terus berwaspada dan bergerak pantas, mengimbangi pertumbuhan dan risiko di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang berubah bagi memastikan kemampanan dalam jangka panjang," katanya.

Berita Harian X