Isnin, 23 Mei 2022 | 11:46am
MAHB merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari sejak sempadan antarabangsa dibuka semula - Foto hiasan
MAHB merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari sejak sempadan antarabangsa dibuka semula - Foto hiasan

Trafik antarabangsa MAHB naik 53 peratus

SEPANG: Pergerakan trafik antarabangsa di semua rangkaian lapangan terbang tempatan milik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 53 peratus kepada 642,128 penumpang selepas sempadan dibuka semula pada 1 April lalu.

Sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa, MAHB merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari, dengan jumlah memuncak melebihi 30,000 pergerakan penumpang ketika cuti panjang Hari Raya Aidilfitri.

Secara keseluruhan, rangkaian lapangan terbang MAHB merekodkan sejumlah 642,128 pergerakan penumpang antarabangsa, di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) mencatat peningkatan paling ketara, masing-masing melebihi 200 peratus.

Bagi operasi Malaysia, MAHB merekodkan 2.78 juta penumpang pada April, dengan pergerakan penumpang domestik berjumlah 2.13 juta atau 77 peratus daripada keseluruhan pergerakan penumpang.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata memandangkan lapangan terbang terus melihat pertumbuhan yang baik selepas pembukaan semula sempadan, syarikat penerbangan juga mengambil momentum dengan menyambung semula laluan penerbangan antarabangsa secara aktif.

"Ini menambah keyakinan kami terhadap pemulihan industri yang lebih pantas. Kami juga gembira kerana Tioman STOLport (TOD) beroperasi semula pada bulan ini untuk memberi perkhidmatan kepada laluan penerbangan SKS Airways (KI) Subang (SZB).

"KI pada masa ini adalah satu-satunya syarikat penerbangan dengan perkhidmatan berjadual yang membuat penerbangan di laluan ini empat kali seminggu.

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan rakan kongsi untuk mempercepatkan kadar pemulihan kedua-dua sektor domestik dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Lima syarikat penerbangan menyambung semula 17 laluan antarabangsa bulan lalu termasuk Vietjet Air (VJ), Scoot (TR), AirAsia (AK), Thai AirAsia (FD) dan AirAsia X (D7).

VJ mengendalikan laluan Ho Chi Minh City (SGN)-Kuala Lumpur (KUL) dengan perkhidmatan empat kali seminggu dan menjadi syarikat penerbangan keempat mengendalikan laluan itu.

TR menyambung semula perkhidmatan penerbangan hariannya untuk laluan BKI-Singapura (SIN).

Sementara itu, kumpulan syarikat penerbangan AirAsia iaitu AK, FD dan D7 meneruskan laluan BKI-SIN, KUL-Hanoi (HAN), LGK-SIN, Ipoh (IPH)-SIN, Hatyai (HDY)-KUL, Don Mueng (DMK)-PEN, KUL-Incheon (ICN), KUL-New Delhi (DEL), KUL-SGN, KUL-Bengaluru (BLR), KUL-Kolkata (CCU), KUL-Kochi (COK), KUL-Chennai (MMA), KUL-Tiruchirappalli (TRZ) dan KUL-Siem Reap (REP).

Bagi April, MAHB merekodkan sejumlah 4.9 juta pergerakan penumpang bagi kedua-dua operasi Malaysia dan Turki, menurun sedikit sebanyak 7.9 peratus berbanding Mac.

Menurut kumpulan, penurunan pergerakan penumpang disebabkan oleh April yang juga bulan Ramadan menyaksikan permintaan yang lebih rendah bagi perjalanan tempatan dan global.

Daripada jumlah pergerakan trafik penumpang sebanyak 4.9 juta, lapangan terbang tempatan di Malaysia menyumbang 57 peratus kepada kumpulan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) di Turki mencatatkan sejumlah 2.13 juta penumpang, masing-masing 1.05 juta penumpang antarabangsa dan 1.08 juta penumpang domestik.

Berita Harian X