Ahad, 22 Mei 2022 | 4:35pm
 Kilang milik Yew Lee Pacific Group Bhd (YLPG) di Ipoh Perak.
Kilang milik Yew Lee Pacific Group Bhd (YLPG) di Ipoh Perak.

Yew Lee garis strategi kukuh perniagaan

KUALA LUMPUR: Yew Lee Pacific Group Bhd (YLPG), pengeluar pembuatan berus industri serta perdagangan alat ganti jentera dan perkakasan industri menggariskan beberapa strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd 7 Jun ini.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutifnya, Ang Poh Yee, berkata strategi yang ditetapkan syarikat itu adalah untuk mengekalkan pertumbuhan mampan dalam perniagaan dan mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Katanya, bagi mencapai objektif perniagaannya, YLPG akan melaksanakan strategi perniagaan dalam tempoh 12 hingga 36 bulan selepas bergelar syarikat senaraian awam.

"Kami menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian berus industri dan mengukuhkan kedudukan pasaran kami dalam pasaran di Malaysia.

"YLPG juga berhasrat untuk meningkatkan kecekapan pembuatan dan mengautomasikan proses pembuatan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang perniagaannya.

"Kami juga mahu mengembangkan dagangan bagi segmen perniagaan perkakasan dan alat ganti mesin industri, selain meluaskan kehadiran kami ke pasaran antarabangsa," katanya kepada BH.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif Yew Lee Pacific Group Bhd (YLPG) , Ang Poh Yee.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif Yew Lee Pacific Group Bhd (YLPG) , Ang Poh Yee.

YLPG dijangka menjana RM37.27 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

IPO syarikat berpangkalan di Ipoh itu membabitkan terbitan 133.10 juta saham baharu yang akan diterbitkan pada harga 28 sen sesaham dan tawaran penjualan 26.62 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Daripada terbitan 133.10 juta saham biasa baharu itu, sebanyak 26.62 juta saham baharu disediakan untuk permohonan kepada orang awam Malaysia; 15.97 juta saham baharu diperuntukkan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak.

Sementara itu, 23.96 juta saham baharu ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 66.55 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengeluar berus industri itu bercadang menggunakan dana yang dikumpul daripada IPO itu untuk pembelian mesin dan peralatan berjumlah RM10.9 juta, RM7.30 juta untuk pembinaan kemudahan gudang dan bangunan pejabat, RM1.80 juta untuk pengubahsuaian bangunan pejabat, RM8.90 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM4.57 juta untuk modal kerja dan RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Mengulas mengenai unjuran pasaran, Poh Yee berkata, industri berus industri tempatan dijangka berkembang 12 peratus tahun ini disokong ermintaan untuk sarung tangan masih kekal tinggi dengan penggunaan berterusan dalam industri seperti pembuatan sarung tangan getah, makanan dan minuman, industri elektrik dan elektrikal (E&E) serta semikonduktor.

"Dari tahun 2023 hingga 2026, pasaran global dijangka kembali pulih selepas dunia berada pada fasa endemik dipacu pemulihan beransur-ansur ekonomi ke tahap sebelum pandemik.

"Ini akan menyediakan pertumbuhan lebih mampan antara 8.0 peratus hingga 9.5 peratus apabila industri berus industri kembali normal selepas mengalami pertumbuhan lebih tinggi selama tiga tahun (2020 hingga 2022.

"Industri ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 9.6 peratus untuk mencecah RM402.3 juta pada 2026," katanya.

Industri berus industri tempatan berkembang rendah pada kadar dua angka sebanyak 12.7 peratus pada 2020 dan terus berkembang sebanyak 27.4 peratus pada 2021 untuk mencecah RM254.5 juta.

Berita Harian X