Jumaat, 20 Mei 2022 | 4:23pm

Sime Darby Plantation raih untung bersih lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM718 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 berbanding RM562 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan turut meningkat kepada RM4.38 bilion daripada RM3.67 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu berkata prestasi itu didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang lebih tinggi dalam segmen huluan dan prestasi hiliran yang lebih baik.

"(Bagi segmen huluan), jumlah keuntungan berulang sebelum faedah dan cukai (PBIT) meningkat 55 peratus kepada RM839 juta berbanding RM543 juta pada suku yang sama terutamanya disebabkan harga MSM dan isirung sawit yang masing-masing naik 40 peratus dan 84 peratus.

"PBIT daripada sektor hiliran meningkat kepada RM132 juta pada suku semasa terutamanya disebabkan margin yang lebih tinggi yang dijana oleh operasi pukal Asia Pasifik yang mendapat manfaat daripada premium Rundingan Meja Bulat bagi Kelestarian Minyak Sawit Mampan (RSPO) ke atas jualan minyak isirung sawit mentah, mengurangkan jumlah jualan yang lebih rendah dan margin di Asia Pasifik dibezakan dan operasi Eropah," katanya.

Selain itu, ia berkata operasi lain juga melaporkan keuntungan lebih tinggi terutamanya disebabkan bahagian hasil yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan usaha samanya.

Mengenai prospek, Pengerusinya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata beliau yakin SDP akan dapat memanfaatkan peluang semasa dan terus memberikan prestasi memberangsangkan pada 2022.

"Kumpulan percaya bahawa walaupun permintaan minyak sawit mungkin dipengaruhi oleh harga semasa yang meningkat, ini akan dikurangkan oleh bekalan yang terhad dan ketersediaan minyak sayuran alternatif serta gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh konflik Russia-Ukraine yang berterusan.

"Kumpulan menjangkakan pengeluaran BTS (buah tandan segar) keseluruhan yang lebih rendah berbanding tahun kewangan 2021 kerana pengambilan pekerja asing baharu untuk industri perladangan hanya dijangka tiba pada separuh kedua tahun ini," tambahnya. – Bernama

Berita Harian X