Khamis, 19 Mei 2022 | 8:12pm

Anak syarikat SCIB raih kontrak bina jalan RM36 juta

KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerusi anak syarikatnya, SCIB Properties Sdn Bhd (SCIB Properties) menerima Surat Anugerah (LOA) bagi memajukan pembinaan infrastruktur jalan raya di Sarawak.

LOA membabitkan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) diperoleh daripada Masama Sdn Bhd (Masama) membabitkan pembinaan jalan raya di Bukit Goram, Katibas, Ngemah, dan Machan serta cadangan pembinaan jalan raya di Nanga Banjor, Nanga Makut dan Katibas di Daerah Song, Sarawak.

Menerusi LOA itu, SCIB Properties akan memaju, melaksana dan menyiapkan projek pembinaan jalan raya dengan terma dan syarat seperti yang ditetapkan dalam Dokumen Kontrak yang ditandatangani antara Masama dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Menurut SCIB, kontrak berkenaan bernilai RM36 juta bagi pembinaan infrastruktur jalan raya di Sarawak dan ia akan bermula dari Mei 2022 hingga April 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SCIB, Rosland Othman, berkata syarikat itu secara agresif menyertai aktiviti tender pembinaan dan EPCC bagi projek kerajaan serta swasta dengan pemerolehan kontrak berkenaan membuktikan usahanya berhasil.

"Kami memiliki rekod prestasi cemerlang sebagai pengeluar dan di Sarawak, kami adalah pembekal pilihan bukan sahaja kerajaan negeri, malah sektor swasta.

"Kami mengambil peluang ini untuk menunjukkan kepakaran dan keupayaan kami dalam membekalkan produk perkilangan berkualiti dan juga dalam menawarkan pelanggan kepakaran teknikal, perundingan profesional dan penyelesaian tersuai.

"SCIB menyedari bahawa projek ini berpotensi memberi manfaat kepada segmen pembuatan kami dan juga kekuatan pembekalan produk perkilangan kami pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Rosland berkata, projek itu juga dijangka memberikan SCIB momentum untuk terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia Timur.

"Melangkah ke hadapan, SCIB berharap prospek syarikat yang lebih cerah untuk tahun-tahun akan datang, sambil kami aka terus merebut lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Berita Harian X