Selasa, 17 Mei 2022 | 1:07pm
Pengarah Urusan YLPG, Ang Lee Leong (tiga dari kanan) bersama pengurusan kanan lain pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Genes Gulitah
Pengarah Urusan YLPG, Ang Lee Leong (tiga dari kanan) bersama pengurusan kanan lain pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Genes Gulitah

IPO YLPG sasar jana modal RM37.27 juta

KUALA LUMPUR: Yew Lee Pacific Group Bhd (YLPG), pengeluar pembuatan berus industri serta perdagangan alat ganti jentera dan perkakasan industri dijangka menjana RM37.27 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Syarikat berpangkalan di Ipoh, Perak itu dijadual akan disenaraikan di pasaran saham tempatan pada 7 Jun ini.

IPO YLPG membabitkan terbitan 133.10 juta saham baharu yang akan diterbitkan pada harga 28 sen sesaham dan tawaran penjualan 26.62 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Daripada terbitan 133.10 juta saham biasa baharu itu, sebanyak 26.62 juta saham baharu disediakan untuk permohonan kepada orang awam Malaysia; 15.97 juta saham baharu diperuntukkan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak.

Sementara itu, 23.96 juta saham baharu ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 66.55 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengeluar berus industri itu bercadang menggunakan dana yang dikumpul daripada IPO itu untuk pembelian mesin dan peralatan berjumlah RM10.9 juta, RM7.30 juta untuk pembinaan kemudahan gudang dan bangunan pejabat, RM1.80 juta untuk pengubahsuaian bangunan pejabat, RM8.90 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM4.57 juta untuk modal kerja dan RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan YLPG, Ang Lee Leong, berkata pelancaran prospektus itu adalah pencapaian penting bagi syarikat yang mencerminkan hasil kerja sejak mula beroperasi pada 2004.

Beliau berkata, sebagai pengeluar berus industri yang mantap, pihaknya melaksanakan IPO itu untuk mengumpul dana bagi rancangan pertumbuhan dan meningkatkan profil dalam industri.

"Bagi mengekalkan pertumbuhan yang mampan dan mencipta nilai pemegang saham jangka panjang, kami mempunyai rancangan untuk mengembangkan kapasiti pembuatan dan meningkatkan automasi, yang mana hasil daripada IPO membolehkan kami melaksanakannya.

"Kami juga sedang membina gudang dan kemudahan pejabat kerana kemudahan semasa diperlukan untuk pengembangan aktiviti pembuatan kumpulan, selain untuk menampung pertumbuhan perniagaan masa hadapan," katanya pada pelancaran prospektus YLPG di sini, hari ini.

YLPG menghasilkan berus industri dan teknikal untuk pelbagai industri pembuatan termasuk sarung tangan, industri, elektrik dan elektronik, pembekal pembersihan industri dan komersial serta pengeluar kaca dan kayu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, 76.8 peratus daripada jumlah pendapatan kumpulan kebanyakannya diperoleh dari Malaysia manakala baki 23.2 peratus daripada pasaran luar negara, terutama di Thailand, Vietnam, Indonesia dan Taiwan.

M&A Securities adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO YLPG, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd ialah penasihat kewangan.

Berita Harian X