Isnin, 16 Mei 2022 | 11:44am
AirAsia sentiasa meneroka bagi menambah lebih banyak ciri lain pada perkhidmatan -NSTP/Mohd Adam Arinin
AirAsia sentiasa meneroka bagi menambah lebih banyak ciri lain pada perkhidmatan -NSTP/Mohd Adam Arinin

AirAsia SUPER+ tawar penerbangan tanpa had

KUALA LUMPUR: Pengguna setia syarikat penerbangan kini boleh menggunakan aplikasi super AirAsia, pelan langganan SUPER+, yang dahulunya dikenali sebagai 'pas tidak terhad' untuk melawat orang tersayang atau melancong.

Ketua SUPER+, Sean Ter, berkata pelan langganan SUPER+ akan membolehkan pelanggan menikmati tiga faedah utama yang merangkumi penerbangan tanpa had, penghantaran percuma tanpa had membabitkan pesanan makanan AirAsia dan liputan insurans pra-keberangkatan COVID-19, yang akan membolehkan mereka memohon faedah insurans jika terkena virus dalam tempoh tujuh hari daripada jadual penerbangan.

"Pelan ini membolehkan mereka meneroka destinasi yang mereka rindukan sejak dua tahun lalu selain memberikan nilai terbaik dalam penghantaran percuma tanpa had pesanan makanan AirAsia di seluruh negara serta lokasi (Lembah Klang, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Ipoh, Kota Bharu, Kuching dan Miri).

"Mereka yang melanggan pelan ini boleh terbang ke mana-mana dengan penebusan penerbangan tanpa had di semua syarikat penerbangan AirAsia merangkumi destinasi domestik dan antarabangsa dengan penerbangan terpilih serta tanpa had (kod penerbangan AK, FD, QZ, Z2)," katanya kepada Bernama.

Beliau juga memberitahu, syarikat itu sentiasa meneroka bagi menambah lebih banyak ciri lain, termasuk diskaun pada Airasia Ride, Airasia Xpress serta banyak lagi yang akan diumumkan kemudian.

Ahli perniagaan, Rizawani Fiona Heng, 42, berkata beliau menggunakan perkhidmatan AirAsia sejak penubuhan syarikat penerbangan itu dan sekarang melanggan pelan SUPER+ yang membolehkannya terbang dengan lebih kerap untuk bercuti atau membuat perjalanan sehari.

"Saya amat suka untuk terbang dan melancong, dengan SUPER+ airasia, ia menjadikan semuanya mudah kerana saya terbang setiap bulan serta ini membolehkan saya mendapat harga yang lebih berpatutan, walaupun AirAsia kadang-kadang menggubah jadual penerbangan mereka tetapi saya diberikan masa yang fleksibel untuk menukar perjalanan.

"Sebagai ibu kepada lima anak, saya memegang tanggungjawab sebagai penjaga dan perjalanan luar negeri biasanya cabaran kepada saya tetapi dengan harga pelan yang berpatutan, saya membelinya untuk seluruh keluarga termasuk pembantu rumah," katanya.

Wanita kelahiran Sabah ini juga mengakui sudah membuat perjalanan ke seluruh Malaysia dan sejak sempadan dibuka semula, beliau berasa lega kerana tidak lagi perlu menempuh ujian COVID-19 atau kuarantin, beliau juga sudah menempah penerbangan ke Singapura, Bangkok dan Manila pada tahun ini.

Rizawani baru-baru ini membuat penerbangan ke Kuching, Sarawak hanya untuk makan tengah hari serta berurut melalui pelan SUPER+ AirAsia.

Sementara itu, bekas pejuang seni mempertahankan diri bercampur (MMA), Allen Solomon Chong, 40, yang kini menjadi pengurus projek dari Bangsar Heights Pavilion berkata, beliau terbang hampir setiap minggu dari Kuala Lumpur ke Sabah untuk bertemu dengan keluarganya dengan pilihan yang lebih munasabah melalui SUPER+ membolehkan beliau melakukan perjalanan tanpa sebarang kos tersembunyi.

"Saya tidak mempunyai pilihan selain terpaksa terbang setiap minggu disebabkan sifat pekerjaan saya, bekerja di Kuala Lumpur, manakala keluarga berada di Sabah.

"Saya terpaksa berulang-alik bagi menjenguk dan menghabiskan masa yang berkualiti dengan mereka terutama anak-anak kerana mereka masih kecil dalam lingkungan umur satu hingga lapan tahun.

"Kadang-kadang ia amat mengecewakan kerana terpaksa berulang-alik selain cabaran penerbangan dijadualkan semula, tetapi pada penghujung hari, ia amat berbaloi kerana saya dapat melihat anak-anak serta sistem sembang 'Airasia Virtual Allstar' (AVA) juga banyak membantu sekiranya saya ada pertanyaan dan membuat perkara lebih mudah sepanjang masa," katanya.

Bapa empat orang anak ini juga memberitahu beliau terbang dengan AirAsia selama hampir empat tahun walaupun pandemik, beliau mengakui ada kelemahan serta kelebihan tetapi melahirkan rasa puas hati dengan keseluruhan perkhidmatan AirAsia.

-BERNAMA

Berita Harian X