Jumaat, 13 Mei 2022 | 8:33pm
MAG adalah syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd - Foto AFP
MAG adalah syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd - Foto AFP

MAG terima pengiktirafan industri penerbangan dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) dinobatkan sebagai entiti pemenang untuk 'Restructuring Deal of the Year' pada Anugerah Tahunan Aviation 100 Deals 2022 oleh Airline Economics.

Ia susulan kejayaan langkah penyusunan semula MAG yang menyaksikan kumpulan itu mengurangkan liabiliti lebih RM15 bilion dan menghapuskan hutang berjumlah RM10 bilion daripada isu-isu lembaran imbangannya sejak berdekad lamanya.

Dalam kenyataan hari ini, MAG berkata, anugerah itu menonjolkan kejayaan aspek kewangan syarikat penerbangan dan transaksi pajakan yang telah dijalankan di seluruh dunia, yang menyaksikan 150 lebihan pencalonan diterima bagi edisi 2022; mengetengahkan paras rekod sokongan kewangan yang telah diraih syarikat penerbangan dan pemberi pajak ketika mengharungi tempoh pemulihan panjang bagi industri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail, berkata pengiktirafan itu menjadi bukti kepada kerja keras, tempoh yang panjang, pengorbanan dan semangat yang tinggi demi organisasi dan jenama negara.

"Penyusunan semula itu dipacu oleh sekumpulan individu luar biasa yang bekerja tanpa mengenal penat untuk mempertahankan organisasi ketika banyak pihak seperti kami bergelut untuk kekal bertahan, menjejaskan kehidupan dan punca pendapatan.

"Dengan penyusunan semula itu, kini, kami boleh menumpukan kepada tugas penting seterusnya di samping bertindak mengikut Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 (LTBP2.0) kami dan menyasarkan untuk mencapai pulang modal menjelang 2023.

"Kami akan terus mengoptimumkan kos operasi, meningkatkan penyampaian perkhidmatan pelanggan dan memudahkan perjalanan yang selamat dan lancar supaya kami boleh terus menjalankan tanggungjawab untuk menghubungkan orang ramai dan destinasi," katanya.

Selepas beroperasi dalam situasi tidak memberangsangkan ketika pandemik COVID-19, MAG menjalankan langkah proaktif untuk mengurangkan kos, mengekalkan aliran tunai, menetapkan semula lembaran imbangannya, mengubah dinamik perniagaan untuk disesuaikan semula dengan aspirasi jangka panjangnya dan memastikan kelangsungan perniagaan dengan memulakan langkah penyusunan semula kumpulan pada 2021.

Menurut kumpulan itu, ia berupaya menguatkan lembaran imbangannya dengan meraih penjimatan lebih RM15 bilion dalam liabiliti dan penyusunan semula ekuiti.

Ini dilakukan melalui penjimatan sepanjang kontrak pemajakan dan penyelenggaraan pesawat utama, menyelesaikan sebahagian besar hutang struktur modalnya, meraih sokongan mudah tunai yang signifikan daripada pemiutang melalui penangguhan pembayaran dan moratorium, kebolehubahan struktur kos tetap terhadap pajakan operasi pesawat dan beberapa kontrak penyelenggaraan pada 2021/2022, serta beberapa usaha penjimatan lain.

"Menerusi pembukaan semula sempadan global, kumpulan ini menyaksikan peningkatan kukuh jualan tiket dan faktor muatan yang baik memandangkan ia semakin pulih daripada impak pandemik.

"Kumpulan turut berada di landasan untuk merealisasikan aspirasi LTBP2.0 bagi menjadi kumpulan perkhidmatan perjalanan dan penerbangan terkemuka di Asia yang menawarkan penyelesaian menyeluruh dan khusus bagi ekosistem perjalanan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menambah baik pengalaman pelanggan, yang berdaya maju dari segi ekonomi demi kelestarian organisasi," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X