Jumaat, 13 Mei 2022 | 2:24pm
Konglomerat Genting Bhd - Foto Reuters
Konglomerat Genting Bhd - Foto Reuters

Buka sempadan lonjak semula pendapatan Genting

KUALA LUMPUR: Pendapatan konglomerat Genting Bhd dijangka kembali kukuh berdasarkan kepada langkah pembukaan sempadan antarabangsa di Malaysia dan Singapura, awal bulan lalu.

Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, Genting yang sebahagian besar operasi perniagaannya menumpukan kepada pelancongan dan riadah di kedua-dua negara terbabit bakal mendapat manfaat besar daripada pembukaan semula sempadan.

"Pemulihan sedang dalam perjalanan bagi konglomerat ini. Kami percaya pendapatan hambar selama dua tahun anak syarikatnya, Genting Malaysia dan Genting Singapura berkemungkinan berakhir dengan pemulihan pendapatan yang dijangka bermula suku kedua 2022.

"Ini berdasarkan kepada pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April di kedua-dua negara," katanya.

Kenanga Research berkata, pemerkasaan operasi dan pendapatan Genting Malaysia dan Genting Singapura akan turut memberi manfaat kepada Genting, sebagai syarikat induk kedua-dua unit perniagaan berkenaan.

Namun, katanya, risiko masih ada kepada kumpulan jika pandemik COVID-19 kembali muncul dengan varian baru dan pelaksanaan kembali sekatan perjalanan yang akhirnya akan menjejaskan operasi kasinonya.

Ia berkata, 2022 akan menjadi tahun pemulihan yang baik kepada konglomerat itu yang dijangka bakal mengalami peningkatan volum bermula pada suku kedua ini.

"Pihak pengurusan kumpulan juga optimis, tetapi kekal berhati-hati terhadap trajektori pemulihan memandangkan pembukaan semula sempadan itu.

"Kumpulan juga sebelum ini turut mendedahkan pelaburan bernilai S$400 juta pada 2022 untuk Resort World Singapore 2.0 dan kerja pengubahsuaian yang berkaitan untuk taman tema serta tiga hotel sebagai langkah bersiap sedia untuk pembukaan semula sempadan," katanya.

Genting Singapore Ltd baru-baru ini merekodkan peningkatan keuntungan teras suku pertama kepada S$43.5 juta daripada S$12 juta pada suku sebelumnya apabila volum perniagaan jatuh mendadak ketika itu.

Sementara itu, dalam perbandingan tahun ke tahun, keuntungan teras suku dikaji merosot sedikit sebanyak dua peratus kepada S$43.5 juta daripada S$44.5 juta, sebahagiannya disebabkan oleh perbelanjaan utiliti yang lebih tinggi dan tamat tempoh langkah sokongan kerajaan berkaitan COVID-19.

Berita Harian X