Khamis, 12 Mei 2022 | 7:14pm
Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd

Serba Dinamik bayar kompaun RM16 juta

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd mengumumkan bahawa syarikat dan eksekutif tertingginya membuat penyelesaian penuh kompaun yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, pembayaran penuh berkenaan dibuat pada 9 Mei 2022, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16 juta.

"Syarikat juga ingin menekankan bahawa operasinya diteruskan seperti biasa, dengan tumpuan mengurus pemiutang dan proses penstrukturan semula PN17," katanya.

SC pada 14 April lalu mengenakan kompaun maksimum terhadap Serba Dinamik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengarah Eksekutif dan dua pegawainya sebanyak RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Menurut SC, individu itu ialah CEO dan Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah; Pengarah Eksekutif, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi serta Naib Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman.

"Muhammad Hafiz juga telah dikompaun sebanyak RM1 juta lagi, saman maksimum yang dibenarkan, kerana memalsukan rekod perakaunan syarikat subsidiari Serba Dinamik Sdn Bhd, satu kesalahan di bawah Seksyen 368(1)(b)(i) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA)," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Pada jam 5 petang hari ini, saham Serba Dinamik ditutup pada 8.5 sen, naik 2.5 sen dengan 352.3 juta saham bertukar tangan.

Saham syarikat itu telah jatuh hampir 75 peratus daripada nilainya sejak penggantungan dagangannya ditarik balik awal minggu ini.

Berita Harian X