Selasa, 10 Mei 2022 | 2:02pm
Hartalega Holdings Bhd
Hartalega Holdings Bhd

Hartalega raih keuntungan lebih besar

KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd meraih keuntungan selepas cukai lebih tinggi berjumlah RM3.23 bilion bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Mac 2022, berbanding RM2.9 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, Hartalega berkata, keuntungan sebelum cukai bagi tahun yang dilaporkan juga melonjak kepada RM4.64 bilion berdasarkan pendapatan berjumlah RM7.89 bilion.

"Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2022, kumpulan mencatat kerugian RM189.7 juta, terutama disebabkan peruntukan untuk membayar Cukai Makmur. Untung sebelum cukai mencecah RM218.4 juta manakala pendapatan sebanyak RM968.7 juta telah dicatatkan.

"Prestasi ini dicapai berikutan harga jualan purata (ASP) yang kembali normal serta jumlah jualan semakin rendah, di samping kos operasi lebih tinggi," katanya.

Menurut Hartalega, selaras dengan komitmen kumpulan untuk menjana nilai kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen satu peringkat ketiga sebanyak 3.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, dengan tarikh kelayakan pada 26 Mei 2022, yang perlu dibayar pada 9 Jun 2022.

Dividen keseluruhan yang dibayar bagi tahun kewangan kini berjumlah 53.5 sen sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong, berkata syarikat menjangkakan prospek tetap cerah bagi tahun kewangan 2023 meskipun negara bakal memasuki fasa endemik.

"Bagi sektor sarung tangan, ASP semasa dilihat mencapai tahap terendah dan pembukaan sempadan antarabangsa dan pelonggaran sekatan perjalanan dijangka meredakan masalah kekurangan pekerja, seterusnya membawa manfaat kepada Hartalega.

"Dalam jangka panjang, peningkatan permintaan global organik secara berstruktur menjadi satu perkembangan positif bagi kumpulan, memandangkan penggunaan sarung tangan yang meningkat di pasaran sedang membangun yang rata-rata masih rendah tahap penggunaannya.

"Di samping itu, kesedaran yang kian meningkat terhadap penjagaan kebersihan dalam kalangan pengamal penjagaan kesihatan selepas pandemik," katanya.

Mun Leong berkata, bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, kumpulan terus meningkatkan kapasiti menerusi Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC).

"Proses peluasan NGC 1.5 kini sedang berjalan lancar dan kami menetapkan sasaran untuk beransur-ansur membuka barisan pengeluaran pertama pada suku keempat 2022," katanya.

Beliau menjelaskan, Hartalega terus berdepan tekanan luaran, termasuk konflik Russia-Ukraine yang masih berlarutan dan perintah kawalan pergerakan di beberapa bandar raya utama di China ekoran penularan kes COVID.

Katanya, ini bakal menjejaskan lagi rantaian bekalan global yang sudah pun menghadapi kekangan ketara di samping mencetus kenaikan harga komoditi dan bahan mentah global.

"Tambahan lagi, pelaksanaan dasar gaji minimum baru-baru ini di Malaysia dijangka mengakibatkan kos operasi lebih tinggi dalam sektor pembuatan," katanya.

Berita Harian X