Isnin, 9 Mei 2022 | 1:07pm
Menara Serba Dinamik Holdings Berhad di Seksyen 14, Shah Alam. - NSTP/FAIZ ANUAR
Menara Serba Dinamik Holdings Berhad di Seksyen 14, Shah Alam. - NSTP/FAIZ ANUAR

Saham Serba Dinamik didagang semula, susut lebih 60 peratus

KUALA LUMPUR: Kaunter Serba Dinamik Holdings Bhd menjunam sehingga 23 sen atau 65.71 peratus kepada paras terendah 12 sen selepas mula didagangkan kembali pada hari ini.

Pada penutup dagangan sesi pagi, saham syarikat itu didagangkan pada 13 sen dengan 430.9 juta saham bertukar tangan menjadikannya sebagai kaunter paling aktif didagangkan.

Dagangan dalam sekuriti syarikat itu telah digantung pada 27 Oktober 2021 kerana kegagalannya bagi mematuhi Arahan Bursa Malaysia dengan dagangan terakhir pada 35 sen.

Serba Dinamik pada 5 Mei lalu berkata pihaknya sedang mengkaji untuk merangka pelan bagi melaraskan keadaan kewangannya dan ia perlu mengemukakannya dalam tempoh lapan bulan.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu berkata ia mempunyai masa kira-kira lapan bulan untuk mengemukakan pelan regularisasinya kepada pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan kelulusan.

Syarikat itu pada Januari lalu mengumumkan yang ia adalah penerbit tersenarai yang terkesan di bawah Nota Amalan (PN17) mengikut keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pada bulan lalu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan kompaun maksimum terhadap Serba Dinamik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengarah Eksekutif dan dua pegawainya sebanyak RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Menurut SC, individu itu ialah CEO dan Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, Pengarah Eksekutif Datuk Syed Nazim Syed Faisal, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi serta Naib Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman.

Muhammad Hafiz juga telah dikompaun sebanyak RM1 juta lagi, saman maksimum yang dibenarkan, kerana memalsukan rekod perakaunan syarikat subsidiari Serba Dinamik Sdn Bhd, satu kesalahan di bawah Seksyen 368(1)(b)(i) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Berita Harian X