Isnin, 9 Mei 2022 | 11:35am
Cnergenz berpangkalan di Pulau Pinang
Cnergenz berpangkalan di Pulau Pinang

Cnergenz manfaat permintaan tinggi produk SMT

KUALA LUMPUR: Cnergenz Bhd, yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 24 Mei ini berada dalam kedudukan kukuh untuk meraih manfaat pertumbuhan permintaan terhadap penyelesaian pembuatan teknologi peletakan permukaan (SMT) di rantau ini.

Penyedia penyelesaian pembuatan elektronik itu berkata, saiz industri global bagi penyelesaian pembuatan SMT berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 6.4 peratus dari AS$3 bilion (RM12.4 bilion) pada 2016 kepada AS$4.1 bilion (RM17 bilion) pada 2021.

Manakala, CAGR bagi pasaran berkenaan di Asia Tenggara berkembang 6.3 peratus dari AS$296 juta (RM1.2 bilion) pada 2016 kepada AS$355.5 juta (RM1.5 bilion) pada 2019.

Bagi pasaran penyelesaian itu di Malaysia, syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu berkata, ia mencatatkan CAGR pada 7.7 peratus dari AS$45.6 juta (RM189.0 juta) pada 2016 kepada AS$57 juta (RM236.1 juta) pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Cnergenz, Lye Yhin Choy, berkata tumpuan utama syarikat selepas penyenaraian adalah untuk mengembangkan lagi bahagian pasarannya dengan terus menawarkan penyelesaian baharu dan inovatif, serta pengembangan kemudahan di Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin meningkat.

Beliau berkata, penyedia penyelesaian pembuatan elektronik itu juga berhasrat mempelbagaikan tawaran penyelesaian kilang pintarnya untuk memanfaatkan permintaan automasi pembuatan pintar, sekali gus mengembangkan kehadiran syarikat di Asia Tenggara.

"Penyenaraian adalah petanda baik untuk rancangan dan strategi masa depan kami, termasuk memperluaskan kemudahan kami, membolehkan kami membangun dan memasarkan rangkaian penawaran penyelesaian pembuatan yang lebih luas, serta membina aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami untuk penyelesaian kilang pintar, satu bidang yang kami lihat ada pertumbuhan kukuh berikutan permintaan untuk pembuatan pintar automatik.

"Penyenaraian juga akan menyediakan Cnergenz dengan keterlihatan dan kehadiran pasaran untuk bersaing dan meningkatkan bahagian pasaran dalam sektor elektronik dan semikonduktor (E&S) di Malaysia, Thailand dan Vietnam, yang mana kami berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada eksport elektronik dan semikonduktor yang semakin meningkat di rantau ini," katanya kepada BH.

Tawaran awam permulaan (IPO) Cnergenz membabitkan terbitan awam 100 juta dan tawaran untuk jualan sebanyak 50 juta terbitan saham dengan cara penempatan persendirian pada harga tawaran 58 sen sesaham.

Ia dijangka menjana RM58 juta daripada IPO, yang mana sebanyak RM37.8 juta akan digunakan untuk pengembangan kemudahannya; RM6 juta untuk perbelanjaan R&D dan RM10 juta untuk modal kerja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif Cnergenz, Kong Chia Liang, berkata syarikat itu turut bercadang untuk mengembangkan penyelesaian kilang pembuatan pintarnya untuk melengkapkan pembuatan SMT memandangkan penyelesaian keluarannya akan menyediakan kos pembuatan yang moden, cekap dan lebih rendah kepada pelanggan.

Beliau berkata, kelebihan syarikat itu terletak pada kepakaran dan pemahaman yang luas mengenai proses pembuatan SMT, diperoleh selama bertahun-tahun dan daripada perkhidmatan pelbagai sektor ruang E&S.

"Pengetahuan, kepakaran serta keupayaan teknologi memberikan kami kelebihan daya saing untuk mereka bentuk dan membangunkan rangkaian penyelesaian kilang pintar," katanya.

Chia Liang berkata, asas pelanggan Cnergenz terdiri daripada pengilang reka bentuk bersepadu (IDM), pemasangan semikonduktor penyumberan luar dan penyedia perkhidmatan ujian (OSAT) dan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang beroperasi dalam industri E&S, dengan sebahagiannya adalah syarikat multinasional.

Berita Harian X