Ahad, 8 Mei 2022 | 10:52am
Mothercare adalah peneraju runcit barangan ibu bersalin, bayi, pakaian kanak-kanak dan alat permainan
Mothercare adalah peneraju runcit barangan ibu bersalin, bayi, pakaian kanak-kanak dan alat permainan

Kim Hin Joo mahu tambah cawangan Mothercare

KUALA LUMPUR: Kim Hin Joo (Malaysia) Bhd, peneraju runcit dalam barangan ibu bersalin, bayi, pakaian kanak-kanak dan alat permainan terkemuka Mothercare merancang membuka lebih banyak cawangan baharu pada separuh kedua tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Kim Hin Joo, Pang Fu Wei, berkata sasaran untuk menambah cawangan bersandarkan sentimen positif pengguna selepas ekonomi ketika fasa peralihan endemik.

"Kami menjangka membuka lebih banyak cawangan sepanjang separuh kedua tahun ini.

"Kami sedang berbincang dengan beberapa pemilik dengan satu cawangan di Pulau Pinang muktamad akan dibuka.

"Selain itu, premis di Plaza Gurney akan diperbesarkan kepada tiga kali ganda," katanya kepada BH.

Setakat 1 April lalu, Mothercare memiliki 21 cawangan di Malaysia dengan 13 cawangan store-in-store dan empat cawangan The Entertainer.

Fu Wei berkata, Kim Hin Joo turut memanfaatkan platform e-dagang bagi meluaskan jangkauan produknya untuk menyokong sentimen belian dalam talian ketika ini

"Kami juga menyenaraikan produk dalam laman web sendiri. Pada tahun pertama pandemik, jualan dalam talian kami meningkat lebih 100 peratus dan pertubuhan 54 peratus tahun kedua," katanya.

Kim Hin Joo memiliki kedai Mothercare Experience Store yang pertama seumpamanya di Malaysia, terletak di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya.

Syarikat itu bercadang meluaskan konsep berkenaan ke KLCC, Plaza Gurney dan beberapa lokasi lagi dengan format premis yang lebih besar.

Beliau menjelaskan, berdasarkan Laporan Industri Runcit 2022, apabila ekonomi dibuka beransur-ansur, Kim Hin Joo yakin perniagaan akan bertambah baik memandangkan tiada lagi sekatan pergerakan dan sentimen pengguna bertambah baik.

"Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ketika pandemik, kami berjaya melaluinya dan bersedia merebut apa jua peluang pertumbuhan masa depan," katanya.

Berita Harian X