Khamis, 5 Mei 2022 | 12:46pm
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Chow Pui Hee.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Chow Pui Hee.

Samaiden perkukuh kehadiran dalam RE

KUALA LUMPUR: Samaiden Group Bhd, penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) dan alam sekitar akan memperkukuhkan kehadirannya dalam membangun dan mengendalikan aset RE memandangkan ia menyediakan aliran pendapatan berulang kepada kumpulan itu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Chow Pui Hee, berkata syarikat itu meninjau untuk membangunkan dan mengendalikan aset RE berbanding menjadi penyedia kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Beliau berkata, Samaiden memeterai perjanjian pembelian tenaga solar (PPA) pertamanya pada Disember 2021 untuk menyediakan tenaga solar kepada Perbadanan Sunway Nexis untuk tempoh lebih 20 tahun.

Katanya, pihaknya percaya bahawa permintaan untuk sumber tenaga yang lebih mampan akan meningkat, dan ia akan berlaku meskipun tiada COVID-19.

"Peralihan kepada sumber tenaga yang lebih hijau sedang dijalankan dengan galakan kerajaan dan perniagaan menggunapakai serta melaksanakan langkah RE untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, yang telah menjadi serius dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Samaiden berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran bagi mencari peluang berdasarkan permintaan," katanya dalam satu temubual menerusi emel.

Samaiden mempunyai kepakaran dalam RE, yang mana ia terbabit dalam EPCC sistem fotovoltaik solar (PV), loji kuasa dan RE serta perunding dan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M) alam sekitar.

Dari sudut operasi, penyedia RE itu telah menyelesaikan pelbagai projek, daripada EPCC hinggalah kepada perundingan untuk pangkalan pelanggan yang merangkumi syarikat domestik dan asing yang terletak di Malaysia.

Pengalaman dalam projek komersil dan kediaman telah memberi manfaat kepadanya manakala projek berkaitan Solar Berskala Besar (LSS) terus menambah portfolio kumpulan.

Samaiden komited terhadap pematuhan Alam Sekitar, Sosial dan Alam Sekitar (ESG) dan ia dicerminkan dalam perniagaan REnya, kepelbagaian pekerja dan amalan imbuhan yang adil serta amalan konsisten dalam standard tadbir urus korporat yang baik.

Mengenai prospek pertumbuhan kumpulan, Chow berkata, sememangnya terdapat asas yang baik untuk perniagaan beralih kepada RE bagi mengurangkan peningkatan kos tenaga dan tekanan inflasi dalam menghadapi risiko geopolitik.

Beliau berkata, kumpulan itu sedang membuat bidaan untuk beberapa projek besar di bawah LSS4, yang mana sejajar dengan strategi sebagai penyedia RE, pihaknya meninjau untuk membina dan mengendalikan aset dan memeterai PPA untuk pendapatan berulang.

Katanya, syarikatnya juga akan meninjau kerjasama menerusi pelaburan bersama atau usaha sama dengan pemegang saham terbesarnya, Chudenko Corp dalam projek RE serta memperkenalkan teknologi baharu membabitkan perkhidmatan O&M projek RE.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2021, Samaiden mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 176.5 peratus kepada RM53.2 juta dan peningkatan 39.5 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM4.3 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya berikutan peningkatan dalam bilangan projek yang dijalankan dan jumlah kontrak yang besar bagi projek berkenaan.

Penyedia RE itu juga memperoleh kontrak baharu dengan nilai agregat kira-kira RM300 juta, yang mana adalah rekod bagi tempahan kontraknya setakat ini.

Berita Harian X