Jumaat, 29 April 2022 | 3:14pm
Samaiden Group Bhd
Samaiden Group Bhd

Samaiden dapat kontrak loji solar RM32.86 juta

KUALA LUMPUR: Samaiden Sdn Bhd (SSB), anak syarikat milik penuh Samaiden Group Bhd menerima surat anugerah daripada Heliosel Sdn Bhd (Heliosel) berhubung pembangunan loji fotovoltan solar SelfConsumption (SelCo) di Selangor.

Kerja-kerja bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM32.86 juta itu diterima oleh SSB pada 21 April 2022, manakala kelulusan Heliosel untuk mengumumkannya diperoleh hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Samaiden berkata loji fotovoltan solar SelCo itu terletak di loji rawatan air di Bestari Jaya, dan permulaan kerja-kerja bagi kontrak itu adalah pada 21 April 2022.

Kontrak itu akan disiapkan dalam tempoh tujuh setengah bulan dari tarikh permulaan, kata Samaiden yang merupakan kumpulan penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) dan persekitaran.

"Skop kerja EPCC termasuk penyiapan reka bentuk, pembuatan, ujian kilang, penghantaran ke tapak, latihan kakitangan dan tanggungjawab Heliosel semasa tempoh liabiliti kecacatan untuk projek serta semua keperluan lain seperti yang diterangkan mengikut surat anugerah itu, " katanya.

Heliosel dimiliki sepenuhnya oleh Air Selangor Holdings Bhd dan terbabit dalam pembangunan, pemasangan, operasi, dan penjualan kemudahan/penjanaan tenaga hijau serta penyediaan penyelesaian yang berkaitan dengan kecekapan tenaga.

-BERNAMA

Berita Harian X