Khamis, 28 April 2022 | 1:31pm
Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N)
Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N)

F&N teroka peluang pasaran baharu

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) akan terus memperkasakan pengeluaran bagi meneroka peluang pasaran baharu dan meningkatkan kecekapan operasinya dengan menyediakan perbelanjaan modal berjumlah RM150 juta setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata ia membabitkan beberapa projek termasuk loji dan gudang pengeluaran air minuman baharu di Kota Kinabalu, Sabah serta kilang susu cecair dan minuman berasaskan tumbuhan di Thailand dan kemudahan di Pulau Indah, Selangor.

"Untuk tempoh jangka panjang, kami berada di landasan yang tepat untuk beberapa projek lain yang akan membolehkan kumpulan memperoleh nilai dalam segmen pasaran baharu. Loji dan gudang pengeluaran bernilai RM20 juta di Kota Kinabalu menandakan keyakinan dan komitmen kami untuk mengembangkan perniagaan air minuman di Sabah.

"Satu lagi projek penting ialah kilang di Thailand, yang sedang dalam peringkat akhir pentauliahan. Pada masa yang sama, kami juga sedang melengkapkan kilang Pulau Indah dengan keupayaan minuman berasaskan tumbuhan menjelang akhir tahun 2022.

"Kedua-dua pelaburan ini (Thailand dan Selangor) berjumlah RM148 juta, yang mewakili anjakan strategik bagi F&N mengurangkan pergantungan kepada susu pekat dan membolehkan kami mengembangkan jenama dalam segmen susu cair," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media maya keputusan kewangan separuh pertama tahun kewangan 2022 F&N, hari ini.

Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, pendapatan F&N meningkat 1.8 peratus kepada RM2.21 bilion, berbanding RM2.18 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Meskipun pendapatan meningkat, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai yang lebih rendah masing-masing sebanyak RM220.1 juta dan RM186.8 juta pada tempoh dikaji berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ini terutama disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi, kesan banjir dan kerugian pertukaran mata wang asing akibat baht Thai yang lebih lemah.

Hasil F&B Malaysia meningkat 5.2 peratus kepada RM1.2 bilion bagi separuh tahun pertama tahun kewangan 2022, daripada RM1.13 bilion didorong oleh prestasi suku kedua yang lebih kukuh, yang sebahagiannya terjejas oleh impak banjir ke atas operasi Shah Alamnya dan keadaan kehabisan stok (OOS).

Sementara itu, pertumbuhan kukuh dua angka dalam jualan domestik dan eksport pada suku pertama telah membantu F&B Thailand mencatatkan hasil yang lebih tinggi pada separuh tahun pertama, meningkat sebanyak 4.6 peratus.

Yew Hoe berkata, prestasi kewangan yang diraih kumpulan menunjukkan daya tahan dalam menghadapi tekanan dalam pelbagai aspek ketika persekitaran perniagaan yang mencabar.

"Kenaikan harga komoditi global mengakibatkan kos barang dijual (COGS) bertambah sebanyak RM200 juta bagi separuh tahun pertama.

"Dengan langkah pengurusan kos yang ketat, termasuk pelarasan harga dan diskaun perdagangan, kumpulan berjaya mengurangkan impak berkenaan dengan ketara," katanya.

Berita Harian X