Rabu, 27 April 2022 | 12:49pm
AmBank Group - Foto Reuters
AmBank Group - Foto Reuters

AmBank kurangkan jejak karbon penggunaan elektrik

KUALA LUMPUR: AmBank Group memanfaatkan Program Tarif Elektrik Hijau (GET) Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam usaha mengurangkan jejak karbonnya dalam penggunaan elektrik, selaras dengan Agenda Kelestarian kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata bank itu telah memilih program GET sebagai alternatif untuk mendapatkan akses kepada lebih banyak tenaga boleh diperbaharui berikutan kekangan yang timbul daripada reka bentuk atas bumbung premisnya.

"Kami adalah institusi kewangan pertama negara yang memasang panel fotovoltan solar (PV) pada salah satu bangunan kami yang terletak di Damansara Fairway 3.

"Bergerak ke hadapan, kami akan terus meneroka dan melaksanakan inisiatif pengurusan tenaga lain untuk mengurangkan lagi pelepasan karbon dan meminimumkan kesan alam sekitar daripada operasi kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi program GET, AmBank Group menjangka mengurangkan pelepasan karbon Skop 2 kumpulan sebanyak kira-kira 90 peratus.

Kumpulan itu juga melaksanakan inisiatif hijau lain seperti melabur dalam infrastruktur cekap tenaga termasuk memasang sistem pencahayaan diod pemancar cahaya (LED) di bangunan dan cawangannya di seluruh negara, kata AmBank.

Sementara itu, Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata pelanggan GET seperti AmBank Group menyumbang kepada agenda hijau negara untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui sehingga 31 peratus menjelang 2025.

Ditubuhkan oleh Suruhanjaya Tenaga, program GET difasilitasi oleh TNBX Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB.

Dengan adanya Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (mREC) menyokong program GET, pelanggan mendapat jaminan bahawa mereka secara tidak langsung menerima sumber tenaga mesra alam seperti hidro dan solar.

-BERNAMA

Berita Harian X