Rabu, 27 April 2022 | 12:15pm
Pesawat AirAsia X (AAX) - Foto AFP
Pesawat AirAsia X (AAX) - Foto AFP

AirAsia X tawar kredit perjalanan boleh tebus segera

SEPANG: AirAsia X (AAX) komited untuk mengutamakan pelanggan yang mempunyai kredit perjalanan tertunggak, dengan membenarkan penggunaan akaun kredit untuk menempah perkhidmatan sedia ada dengan segera.

Dalam tempoh tiga bulan akan datang, semua pelanggan yang mempunyai kredit tidak digunakan dengan syarikat penerbangan itu akan menerima baucar perjalanan secara automatik, yang boleh digunakan untuk menempah perjalanan sehingga lima tahun melalui akaun airasia rewards.

Selain itu, pelanggan yang terjejas oleh proses penstrukturan semula juga bakal menerima bayaran balik secara sekali beri sebanyak 0.5 peratus daripada nilai keseluruhan kredit perjalanan yang tidak digunakan semasa ulang tahun pertama penstrukturan semula hutang AAX pada Mac 2023, serta sebahagian daripada keuntungan AAX pada tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, berkata pihaknya mengutamakan tetamu yang terjejas selama dua tahun ini kerana syarikat itu juga turut terkesan.

"Sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa, dua tahun kebelakangan ini adalah amat mencabar bagi kami dengan penutupan sempadan di seluruh dunia.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu di atas kefahaman dan kesabaran mereka. Kami menggunakan tempoh sekatan perjalanan itu untuk membina semula syarikat penerbangan ini supaya AAX dapat kembali dengan lebih kukuh pasca pandemik.

"Kami komited untuk mengutamakan tetamu dan tidak sabar untuk mengalu-alukan mereka kembali terbang bersama kami dengan tambang bernilai hebat serta perkhidmatan dalam penerbangan terkemuka sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, AAX melancarkan perkhidmatan pasca pandemik pertamanya dari Kuala Lumpur ke Sydney diikuti perkhidmatan ke New Delhi dan Seoul pada minggu lalu.

Perkhidmatan ini tersedia untuk tempahan menggunakan akaun kredit atau kredit perjalanan tertunggak untuk perjalanan sebelum 30 Jun 2022.

Jika tiada sebarang tempahan dibuat dalam tempoh ini, kredit perjalanan tertunggak atau akaun kredit akan ditukar secara automatik kepada baucar perjalanan dan akan dikreditkan kepada tetamu dalam beberapa bulan akan datang, sah untuk tempahan perjalanan sehingga lima tahun.

Seperti dalam penyata penerangan yang telah diterima oleh semua pemiutang, termasuk pelanggan pada tahun lalu, tawaran kredit perjalanan kepada tetamu yang terjejas oleh penstrukturan semula hutang adalah mengikut budi bicara pengurusan AAX dan tertakluk kepada terma dan syarat.

Berita Harian X