Selasa, 26 April 2022 | 11:42pm

Seng Fong terima kelulusan disenarai Pasaran Utama

KUALA LUMPUR: Seng Fong Holdings Bhd (Seng Fong), telah menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities.

Aktiviti utama Seng Fong ialah memproses, mengeluar dan berdagang Getah Standard Malaysia (SMR) dan getah blok gred premium, melalui anak-anak syarikatnya.

Menurut draf tawaran awam permulaan, penyenaraian itu membabitkan tawaran awam permulaan (IPO) terbitan awam sebanyak 90.81 juta saham dan tawaran untuk dijual sehingga 70.06 juta saham.

Saham IPO dibahagikan kepada tawaran institusi sehingga 118.68 juta saham mewakili 22.9 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan dan, tawaran runcit sehingga 42.20 juta saham mewakili 8.1 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan.

Seng Fong juga mengendalikan makmal yang diluluskan oleh Lembaga Getah Malaysia untuk ujian, penggredan dan pensijilan getah blok yang diproses di mana pelanggannya kebanyakannya adalah pengilang tayar atau peniaga getah antarabangsa.

"Kami ingin merakamkan penghargaan kepada SC kerana meluluskan IPO kami di Pasaran Utama Bursa Securities. Penyenaraian itu akan meningkatkan reputasi kami dan membantu kami dalam mengembangkan pangkalan pelanggan kami di peringkat global sambil membolehkan kami mendapat akses kepada pasaran modal untuk mengumpul dana bagi peluang pertumbuhan masa hadapan." kata Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tawaran institusi terdiri daripada 64.87 juta saham IPO mewakili 12.5 peratus ​​daripada saham terbitan yang diperbesarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Manakala 53.81 juta saham IPO mewakili 10.4 peratus daripada saham yang diperbesarkan kepada pelabur institusi dan terpilih yang lain.

Sementara itu tawaran runcit terdiri daripada 12.97 juta saham IPO mewakili 2.5 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan kepada pelabur Bumiputera 12.97 juta saham IPO mewakili 2.5 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan kepada pelabur bukan Bumiputera 16.25 juta saham IPO mewakili 3.1 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan kepada pengarah dan pekerja Syarikat yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan Syarikat dan anak-anak syarikatnya.

"Penyenaraian itu juga membolehkan kami mengumpul dana yang kami perlukan untuk pemasangan sistem biojisim yang akan menyediakan sumber bahan api untuk operasi pemprosesan kami dan pada masa yang sama mencapai penjimatan kos dengan mengurangkan kos bahan api keseluruhan. Kami juga memasang dua unit Sistem Solar untuk membantu kami mengurangkan kos elektrik serta membantu kami mencapai matlamat kemampanan kami untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau," katanya lagi.

Sebahagian daripada hasil daripada penyenaraian itu juga akan disalurkan kepada keperluan modal kerja, yang akan termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membayar balik pinjaman bank, yang merangkumi pinjaman berjangka untuk pemasangan Sistem Solar.

Hong Leong Investment Bank Berhad adalah Penasihat Utama, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan.

Berita Harian X